suria

Wartawan diarah bayar ganti rugi kepada peguam RM100000

PUTRAJAYA: Seorang wartawan dan dua yang lain dikehendaki membayar RM100,000 sebagai ganti rugi am kepada peguam Datuk V.Muthusamy berhubung artikel memfitnah yang tersiar dalam akhbar New Straits Times (NST) 17 tahun lepas.

Keputusan ini dicapai selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada 7 Nov mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa laporan mengenai prosiding mahkamah yang disiarkan oleh New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), bersifat memfitnah.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk S.Augustine Paul, dalam penghakiman 16halamannya, memutuskan bila laporan mengenai fitnah mengandung ekstrak dari pengakuan, ia sepatutnya telah dibacakan di mahkamah terbuka sebelum disiarkan.

"Ini bererti pengakuan boleh menjadi sebahagian daripada laporan, tertakluk kepada syarat ia mesti telah dibacakan di mahkamah terbuka," katanya.

Paul bersidang bersama Hakimhakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Pada 14 Sept tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan rayuan oleh Joceline Tan Poh Choo, ketika itu editor kumpulan NST dan penerbit, NSTP, yang disaman kerana fitnah, didengar semula di hadapan panel baru selepas memutuskan keputusan awal yang memihak kepada mereka adalah tidak adil.

Panel lima anggota sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan 13 Mei, 2005 yang mengecualikan Joceline dan dua yang lain dari membayar ganti rugi kepada peguam berkenaan berhubung artikel tersebut.

Ia membenarkan permohonan Muthusamy supaya dikaji semula keputusan itu kerana Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bercanggah.

Panel terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakimhakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Mohd Sheriff (kini Presiden Mahkamah Rayuan), Datuk Abdul Aziz Mohamad, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Azmel Ma'amor.

Muthusamy menyaman Joceline (kini tidak lagi dengan NST), NSTP, kerana fitnah berhubung penerbitan sebuah artikel berjudul "Lawyer and Trader Conspired To Cheat Me, Claims Driver" (Peguam dan Peniaga berpakat Menipu Saya, dakwa Pemandu), yang muncul bersama gambarnya dalam NST pada 12 Sept 1991.

Beliau mendakwa laporan itu, mengikut makna biasa dan semula jadi, bererti dan difahamkan bererti yang beliau adalah seorang penipu dan tidak jujur dan tidak layak menjalankan amalan guaman.

Pada 10 Nov 2000, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan Muthusamy dan memerintahkan defendan membayar kepadanya RM300,000 sebagai ganti rugi am dan RM50,000 ganti rugi teruk selepas memutuskan bahawa mereka telah gagal membuktikan laporan itu adil, tepat dan bertepatan dengan masa.

Tiga orang itu merayu ke Mahkamah Rayuan mengenai liabiliti dan jumlah sementara Muthusamy, bekas Adun Prai, membuat rayuan balas tentang jumlah.

Pada 1 Ogos 2003, Mahkamah Rayuan menolak rayuan mengenai liabiliti tetapi mengurangkan ganti rugi am ke RM100,000 dan mengetepikan RM50,000 yang diberikan sebagai ganti rugi teruk. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain