suria

Ali layak tanding Timbalan Presiden, jangka fasa kedua lebih mencabar

DUA Naib Presiden yang sudah layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam setakat perkembangan petang ini.
DUA Naib Presiden yang sudah layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam setakat perkembangan petang ini.
DUA Naib Presiden yang sudah layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam setakat perkembangan petang ini.

[DIKEMAS KINI, 8 malam] PETALING JAYA: Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam - pemimpin kedua yang berjaya melepasi garisan kelayakan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Berdasarkan perkembangan sehingga pukul 5.30 petang tadi, beliau telah memperoleh tujuh pencalonan hari ini, sekali gus melepasi had minimum.

Setakat ini kedua-dua Naib Presiden - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ali - telah memperoleh tiket untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden yang dikosongkan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Ali berkata, apa yang dicapai hari ini merupakan cabaran fasa pertama dan menjangkakan peringkat seterusnya lebih mencabar lagi.

"Saya melihat fasa akan datang lebih mencabar," katanya.

Beliau sekali lagi mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada bahagian-bahagian yang telah mencalonkan saya," kata beliau.

Seorang bakal calon perlu memperoleh 39 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Bahagian yang mencalonkan Ali hari ini ialah Ketereh, Tumpat, Kubang Kerian, Pasir Salak, Kuala Nerus, Pendang, Sungai Petani dan Sandakan.

Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula memperoleh tiga pencalonan lagi setakat petang ini iaitu daripada Baling dan Petaling Jaya Selatan, menjadikan pencalonannya beliau setakat ini mencecah 32.

Bernama melaporkan untuk hari ini, bekas Menteri Besar Selangor itu, sehingga pukul 6.30 petang mendapat tiga pencalonan.

Mohd Ali, 59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka dilahirkan di Kampung Bukit Katil, Melaka dan mendapat pendidikan awal dari Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Katil (1956 1960) sebelum berpindah ke Sekolah Rendah Kebangsaan Semabok, Melaka pada 1961.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Melaka.

Bapa kepada tiga orang anak itu memiliki Ijazah Sarjana Muda bidang Sains Sosial (Pembangunan Ekonomi), daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1984-1986. Jawatan Timbalan Presiden Umno akan menyaksikan pertandingan selepas 21 tahun, kerana selama ini jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dengan restu majlis tertinggi parti.

Jawatan nombor dua Umno menyaksikan pertandingan terakhir pada 1987, apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba memenangi jawatan itu dengan kelebihan 40 undi mangalahkan penyandang Tun Musa Hitam ketika itu.

BERITA TERDAHULU:

Saingan Timbalan Presiden fokus hari ini, Pekan penentu sokongan Najib

PETALING JAYA: Tinggal 49 bahagian lagi mengadakan persidangan perwakilan masing-masing menjelang tengah malam esok, tumpuan beralih kepada jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Selepas Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memenangi jawatan Presiden Ahad lalu tanpa cabaran, fokus semasa ialah sama ada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib akan memperoleh pencalonan minimum untuk layak bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Salah seorang Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun melayakkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dua minggu lalu.

Muhyiddin kini menguasai 79 pencalonan.

Jawatan itu memerlukan minimum 39 pencalonan.

Bagi membolehkan Muhyiddin menang tanpa bertanding, rekod yang dicapai Najib pada Ahad lalu, beliau memerlukan 43 lagi pencalonan.

Ali, Ketua Menteri Melaka dan Muhammad yang juga Ketua Penerangan Umno dan anggota Kabinet masing-masing telah memperoleh 32 dan 30 pencalonan.

Ali dan Muhammad masing-masing merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Melaka dan Selangor.

Pemimpin keempat dicalonkan bagi jawatan itu ialah Datuk Shahrir Abdul Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau yang sebelum ini pernah melahirkan hasrat untuk tidak merebut sebarang jawatan tertinggi parti hanya memperoleh satu pencalonan setakat ini.

Hari ini 26 bahagian dijadual mengadakan persidangan masing-masing.

Ali memerlukan tujuh pencalonan lagi manakala Muhammad perlu memperoleh sembilan.

Kedua-dua Ali dan Muhammad sebelum ini berulang kali menegaskan tidak akan menarik balik tawaran untuk bertanding jawatan tersebut.

Satu lagi bahagian yang menarik untuk diperhatikan ialah Pekan yang diketuai oleh Najib.

Sokongan bahagian itu dilihat sebagai satu pengesahan kepada calon kerusi Timbalan Presiden.

Esok Bahagian Kepala Batas, yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, akan mengadakan persidangan perwakilan.

Abdullah tidak mempertahankan jawatan Presiden.

Melalui sistem kuota, calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan (daripada 191 bahagian Umno kini), timbalan presiden (20 peratus atau 39 pencalonan), naib presiden (10 peratus atau 19 pencalonan dan majlis tertinggi (5 peratus atau 10 pencalonan).

Dalam pada itu, bagi kerusi Naib Presiden tiga calon 'utama' iaitu Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Rahim Thamby Chik terus memburu pencalonan minimum daripada bahagian-bahagian yang bersidang hari ini dan esok.

Setakat semalam Jamaluddin sudah mengumpulkan 18 pencalonan, kurang dua untuk melayakkan diri bertanding jawatan tersebut, Rais memerlukan lima lagi manakala Rahim pula perlu mencari 10 pencalonan tambahan.

Enam calon sudah pun memperoleh pencalonan mencukupi untuk jawatan Naib Presiden.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (115), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (83), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (64), Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (61), Datuk Seri Syed Hamid Albar (24) dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (21).

Artikel Sebelum

Artikel Lain