suria

25 pendatang tanpa izin diberkas selepas bot karam

LANGKAWI: Seramai 25 orang pendatang tanpa izin dari Thailand diberkas malam tadi apabila bot yang mereka naiki karam di perairan Tanjung Kemarung di sini ketika cuba berpatah balik setelah kehadiran mereka dikesan.

Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Marin Kedah/Perlis, ASP Rodzi Abu Hassan berkata, hasil maklumat awam, 14 anggotanya telah melakukan serbuan di persisir pantai Teluk Yu di sini pada 8.30 malam.

"Setelah menyedari kehadiran polis, sekumpulan pati dipercayai melebihi 20 orang melarikan diri ke dalam hutan berdekatan manakala yang lain menaiki sebuah bot ikan negara jiran.

"Polis kemudiannya mengesan bot ikan itu yang sarat dengan pendatang berkenaan," katanya kepada pemberita di Pangkalan Polis Marin Bukit Malut di sini hari ini.

Beliau berkata ketika bot peronda polis mendekati bot ikan berkenaan, ia karam dipukul ombak kerana laut bergelora.

Katanya 25 pendatang itu dapat diselamatkan manakala empat lagi masih hilang dan gerakan mencari dijalankan oleh polis marin dengan bantuan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Rodzi berkata gerakan mencari di darat untuk mengesan mereka yang melarikan diri ke dalam hutan juga sedang dijalankan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain