suria

Zaki: 'Saya tidak akan bicara kes Umno'

PUTRAJAYA: Tan Sri Zaki Tun Azmi, Ketua Hakim Negara yang baru menegaskan, beliau seboleh mungkin akan mengelak daripada mendengar kes-kes melibatkan Umno apabila ia dibawa ke mahkamah memandangkan beliau pernah mewakili parti itu sebagai peguam.

Jelas Zaki, beliau akan berbuat demikian sehinggalah merasakan persepsi umum terhadap diri beliau sudah berubah.

"Setakat ini kes Umno yang datang ke mahkamah, saya tidak akan membicarakan. "Saya kata saya tidak mahu (membicarakannya)? sehingga saya dapat menunjukkan kebebasan diri saya," katanya dalam Wawancara Khas bersama Bernama TV.

Zaki ditanya bagaimanakah beliau akan mengendalikan kes-kes melibatkan Umno memandangkan wujud keraguan sesetengah pihak kerana beliau sebelum ini pernah mewakili Umno sebagai peguam.

Zaki, 63, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenan Majlis Raja-Raja pada 18 Oktober lepas.

Zaki yang sebelum itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamed yang bersara wajib.

Zaki juga berkata, imej badan kehakiman kini semakin baik selepas pelantikan Tun Abdul Hamid Mohamed sebagai Ketua Hakim Negara apabila keputusan-keputusan perbicaraan mahkamah terutama berhubung petisyen pilihan raya tidak semata-mata memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Begitu juga, katanya, keputusan Mahkamah Khas yang memerintahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Abdul Rahman membayar AS$1 juta kepada sebuah bank selepas memutuskan baginda perlu mematuhi terma-terma dalam surat kredit.

"(Keputusan mahkamah) itu semua menunjukkan kehakiman adalah bebas. Pada saya, hanya masa boleh menentukan atau menunjukkan kebebasan kehakiman," kata Zaki.

Ketua Hakim Negara itu juga berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam keputusan penghakiman yang dibuat oleh hakim-hakim dan beliau juga meminta ketua-ketua hakim supaya turut berbuat demikian bagi hakim-hakim di bawah mereka.

"Saya sendiri tidak campur tangan, tidak membuat cadangan kepada mereka dan mereka membuat keputusan mengikut undang-undang," katanya.

Ditanya apakah usaha beliau untuk mengembalikan imej Badan Kehakiman pada tahap pra-1980-an atau sebelum peristiwa pemecatan Tun Salleh Abas, beliau berkata, imej badan itu sedikit sebanyak telah diperbaiki setelah Tun Abdul Hamid Mohamad dilantik Ketua Hakim Negara, dan beliau akan terus berusaha memperbaikinya.

Zaki juga yakin tidak wujud lagi gejala rasuah dalam Badan Kehakiman dan beliau pasti sekiranya masih wujud segelintir yang cenderung ke arah itu, mereka tidak akan berani berbuat demikian.

Beliau seterusnya meminta orang ramai supaya tidak menggoda anggota badan kehakiman untuk menerima rasuah.

Kepada pihak media, beliau memohon supaya tidak mensensasikan berita mengenai sesuatu kes sebaliknya membuat laporan tepat yang akan membantu menaikkan imej badan kehakiman.

Artikel Sebelum

Artikel Lain