suria

11 resolusi penambahbaikan institusi kerajaan dan parti politik

KUCHING Institut Integriti Malaysia (IIM) menggariskan 11 resolusi untuk penambahbaikan institusi kerajaan sekaligus untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang membentangkan resolusi itu berkata turut terkandung dalam resolusi tersebut ialah penerapan nilai-nilai murni dan amalan integriti dalam kepimpinan dan parti-parti politik di negara ini.

Belia juga berkata pembudayaan integriti perlu dilaksanakan selaras dengan prinsip Rukun Negara.

"Pembudayaan integriti harus dilaksana secara holistik menerusi pendidikan di peringkat kanak-kanak dan pelajar sekolah dengan ibu bapa sebagai contoh, dalam pengukuhan nilai dalam komuniti," katanya hari ini.

Sebelas resolusi tersebut ialah:

1. Kepimpinan dalam institusi kerajaan dan parti politik harus memberi penekanan kepada penerapan nilainilai murni dengan amalan integriti diamalkan melalui kepimpinan melalui tauladan.

2. Penambahbaikan secara berterusan di dalam sistem dan prosedur kerja serta peraturan sebagai mekanisme bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awan demi meningkatkan kepercayaan rakyat.

3. Pembudayaan integriti harus dilaksana secara holistik menerusi pendidikan bermula di peringkat kanakkanak dan pelajar sekolah, ibu bapa sebagai contoh dalam pengukuhan nilai dan moral komuniti serta pengukuhan amalan melalui agama, institusi politik dan komuniti.

4. Pembudayaan integriti di kalangan belia harus diberi penekanan dengan memberi peluang kepada mereka terbabit dalam merencana dasar dan hala tuju negara di samping menerapkan amalan dan penghayatan prinsip Rukun Negara.

5. Pembudayaan integriti mesti dijadikan amalan utama masyarakat perniagaan secara menyeluruh dengan membangunkan program yang boleh mempromosikan integriti dan perlaksanaan tanggungjawab sosial korporat.

6. Skop pembudayaan integriti harus diperluas, bukan sahaja mengatasi masalah rasuah, tetapi mencakupi aspek pembaziran, pembangunan terancang dan pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan.

7. Peranan media dalam pembudayaan integriti di dalam masyarakat harus dimantapkan melalui kerjasama yang strategik dengan agensi Kerajaan serta bersikap adil serta mengutarakan kepelbagaian pandangan pelbagai pihak.

8. Media perlu dilihat sebagai bebas dari pengaruh luar agar masyarakat dapat menerima berita yang dilaporkan benar, tepat dan boleh menjaga perpaduan serta keharmonian kaum.

9. Pengamal media perlu meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui pemantapan etika kewartawanan selaras dengan kehendak dan tuntutan masyarakat semasa bagi mendapatkan maklumat lebih telus.

10. Integriti negara, rakyat dan masyarakat perlu dipertahankan demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu serta berdaya saing bagi menghadapi cabaran era globalisasi.

11. Agenda integriti nasional melalui perlaksanaan Pelan Integriti Nasional perlu dilaksana secara holistik oleh pelbagai sektor masyarakat.

Konvensyen Integriti 2007 Putrajaya mengariskan 21 resolusi.

Sementara itu Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata pembudayaan integriti merupakan asas yang paling penting dalam menjamin kemakmuran dan keamanan di negara ini.

"Kegagalan untuk mengekalkan budaya integriti, ia boleh merosakkan negara kita, sebab itu kita harus memuji langkah Perdana Menteri yang mengambil berat terhadap amalan integriti dalam pemerintahannya selama ini," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional dan Konvensyen Integriti Nasional 2008 di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain