suria

Ali Rustam: Peringatan Sultan Perak wajar diberi perhatian serius

MELAKA: Peringatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar sesuatu isu terutama membabitkan kepentingan dan keistimewaan orang Melayu tidak dipolitikkan semata-mata untuk mencari populariti murahan, wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di negara ini," katanya kepada pemberita selepas meraikan ketua-ketua pengarah imigresen negaranegara Asean yang sedang melakukan lawatan sehari ke Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Semalam, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Mohd Ali berkata beliau bimbang jika isu ketuanan Melayu, hak orang Melayu dan kontrak sosial terus dipersoalkan dan dipertikaikan oleh manamana pihak, ia boleh mencetuskan suasana tidak sihat di negara ini.

"Sebagai orang Melayu kita perlu berani dan tegas mempertahankan hak kita dan bukan bersifat talam dua muka memburukburukkan kaumnya sendiri dengan memberi pelbagai tafsiran peribadi mengenai ketuanan Melayu," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad berkata kini bukan masanya untuk mengungkit, mempersoal atau mencabar manamana perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Melihat keadaan negara sekarang, saya rasa tak perlulah sentuh apa yang terkandung dalam sistem pelembagaan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Kumpulan The Store cawangan Sri Petaling dekat sini, hari ini.

Shahrir, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata perlembagaan Malaysia memang unik daripada segi memelihara kebajikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

"Perlembagaan negara memang ada peruntukanperuntukan tertentu yang memelihara kewarganegaraan seseorang individu," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain