suria

Anak lelaki bekas timbalan menteri dan dua lagi bebas tuduhan membunuh

KUALA LUMPUR: Anak lelaki bekas timbalan menteri dan dua yang lain dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan membunuh seorang doktor lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali semasa menyampaikan keputusan membebaskan pelajar kolej Nor Adzlan Idris, 25, Lee Jun Jo, 27, dan Choy Chin Chuan, 25, kedua-duanya penganggur, tanpa dipanggil membela diri, memutuskan pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mereka dituduh membunuh Dr T.Ariaratnam, 66, di Arinaga Medical Centre di Taman Bangsar di sini antara 3.30 pagi dan 4 pagi 21 April, 2003.

Nor Adzlan ialah anak Tan Sri Idris Abdul Rauf, bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan dan bekas anggota Parlimen Parit Buntar.

Mohamed Apandi berkata, pihak pendakwaan yang telah memanggil 21 saksi termasuk perunding forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Mohamed Shah Mahmud, telah banyak bergantung kepada keterangan keadaan untuk membuktikan kesnya.

"Pihak pendakwaan bertanggungjawab untuk membantu mahkamah dalam membuat rumusan kukuh bahawa semua remaja ini mempunyai niat bersama untuk membunuh Dr Ariaratnam," katanya.

Katanya, beliau tidak memerintahkan mereka untuk membela diri berikutan terdapat beberapa "ruang kosong" dalam kes pendakwaan, terutama kegagalan memanggil dua warganegara India yang sepatutnya menjadi saksi penting.

Katanya, kegagalan pihak pendakwaan dan pegawai penyiasat dalam mengambil langkah perlu untuk memastikan kehadiran dua pembantu klinik berkenaan, Vellaichamy Sockalinggam dan Vasudevan Perumal, telah melemahkan lagi kes itu.

Mohamed Apandi berkata, pihak pendakwaan juga telah gagal membuktikan niat bersama dan perancangan awal di pihak tertuduh untuk merompak dan membunuh doktor itu.

Walaupun terdapat keterangan oleh dua saksi pendakwa bahawa ketigatiga mereka ada membincangkan mengenai rompakan, masih tidak jelas dan juga tiada bukti kukuh mengenai siapa antara ketiga mereka itu yang bertanggungjawab mengakibatkan luka parah di kepala doktor itu, katanya.

Katanya, mahkamah memutuskan untuk memerintahkan ketiga-tiga mereka untuk membela diri kerana mahu menghalang pihak pembelaan daripada mendedahkan lebih banyak kelemahan dalam kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz kemudian memberitahu pemberita yang beliau akan merujuk perkara itu ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Peguam Gooi Soon Seng mewakili Lee, peguam K. Y. Leong mewakili Choy dan Nor Adzlan diwakili peguam Naran Singh.

Lee, bagaimanapun dihantar ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu keputusan satu lagi kes di mana dia bersama-sama lima yang lain dituduh menyebabkan kematian seorang penghuni di penjara itu semasa rusuhan pada 2006. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain