suria

Rais: Umno perlu pastikan semua calon dapat peluang sama-rata

PUTRAJAYA:Umno perlu memikirkan cara terbaik yang boleh diguna pakai untuk memastikan semua calon yang menawarkan diri bertanding pada pemilihan parti menerima peluang dan pencalonan yang saksama.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata apa yang berlaku sekarang ialah terdapat calon yang masih terus menerima pencalonan walaupun sudah melepasi hak kelayakan untuk bertanding pada pemilihan parti Mac depan.

"Dalam situasi begitu sebaikbaiknya beri peluang kepada pelbagai pihak, orang yang belum lagi genap pencalonannya...seharusnya pemimpin dan anggota Umno memikirkan cara terbaik bagi memberi peluang yang sama rata dan saksama (kepada calon)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rais yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan Naib Presiden parti berkata beliau masih memerlukan empat lagi pencalonan untuk melepasi had kelayakan.

Ketika ditanya sama ada beliau yakin mampu menerima empat lagi pencalonan di saat-saat akhir, Rais berkata itu merupakan pendirian semua ahli politik.

"Semua ahli politik yakin, cuma menang atau kalah itu belum tahu. Kita semua yakin akan dapat pencalonan pada minggu ini," katanya.

Mengenai politik wang, Rais berkata jawatankuasa disiplin parti perlu membuktikan keupayaan mereka untuk membanteras amalan itu sekiranya Umno berhasrat untuk menyamai aspek integriti parti-parti lain. BERNAMA

Artikel Lain