suria

Empat produk China empat biskut tempatan bebas melamin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan empat produk makanan dari China dan empat lagi biskut keluaran tempatan adalah selamat untuk dimakan selepas analisis mendapati ia mematuhi tahap melamin yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk dari China itu ialah Strawberry Sandwich Biscuit yang menggunakan jenama Hapi, Pizza Biscuits (Red Packet) daripada jenama JIAHUI, Soda Biscuits (Green Packet) berjenama CHong dan gula-gula susu buah daripada jenama Hichime.

Empat produk dari Malaysia yang disahkan mematuhi tahap melamin yang ditetapkan ialah Biskut Marie Kecil, Biskut Rokok S, Biskut Rokok L2 dan Biskut Milk Fat Short Cake. Keempat-empat biskut berkenaan dikeluarkan oleh syarikat Khian Guan.

Sementara itu, Noraini meminta orang ramai supaya tidak membeli biskut secara timbang di pasar malam, pasar tani dan di kedai bagi mengelak mereka terbeli biskut yang kandungan melaminnya melebihi had yang dibenarkan.

"Jangan hanya fikir biskut timbang lebih murah, tetapi fikirlah kesan yang mungkin ditinggalkan apabila kita mengambilnya (memakannya)," katanya.

Katanya, pengguna perlu lebih peka bagi mengelak termakan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan diri dan keluarga.

"Kita hanya boleh mendidik pengguna dan merekalah yang perlu membuat keputusan semasa membuat pembelian. Baca label makanan yang disediakan sebelum membelinya," katanya.

Noraini juga menasihatkan penjual supaya lebih bertanggungjawab dan selalu membuat semakan di laman web kementerian bagi mengelak terjual produk makanan yang tercemar dengan bahan dilarang itu.

"Jika ada produk makanan yang tidak mematuhi tahap bagi melamin, kita nasihatkan mereka keluarkan segera dari rak premis atau menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk maklumat lanjut.

"Kita juga menggesa pengguna menyemak senarai produk yang tidak diluluskan bagi mengelak mereka terbeli produk yang tidak selamat dimakan itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain