suria

Kes bunuh doktor Mahkamah buat pendirian 5 November ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 Nov ini untuk menentukan sama ada tiga remaja termasuk seorang anak bekas timbalan menteri perlu dipanggil membela diri atas dakwan membunuh Dr T. Ariaratnam di sebuah klinik di Bangsar, dekat sini, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali menetapkan tarikh tersebut setelah pihak pendakwaan dan pembelaan selesai membuat penghujahan lisan pada akhir kes pendakwaan hari ini.

Pihak pendakwaan memanggil 21 saksi termasuk perunding forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohamed Shah Mahmod.

Pelajar kolej Nor Adzlan Idris, 25, Lee Jun Jo, 27 dan Choy Chin Chuan, 25, keduadua penganggur, didakwa membunuh Dr Ariaratnam, 66, di Pusat Perubatan Arinaga, Bangsar Park, di sini antara pukul 3.30 pagi dan 4 pagi pada 21 April, 2003.

Nor Adzlan adalah anak bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Idris Abdul Rauf.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah mengarahkan kesemua tertuduh membela diri setelah saksi pendakwa memberi keterangan bahawa ketiga-tiga tertuduh dan dua lagi remaja telah merancang merompak klinik tersebut dengan bersenjatakan parang sebaik meninggalkan bilik hotel mereka.

Katanya kesan darah mangsa juga turut ditemui dalam kereta yang digunakan oleh tertuduh selepas pembunuhan tersebut.

"Keterangan mengikut keadaan menunjukkan bahawa tertutudh berada dalam klinik semasa pembunuhan walaupun pihak pendakwaan tidak dapat memastikan siapa dalam kumpulan itu yang menyebabkan kecederaan maut itu," katanya.

Peguam bela Gooi Soon Seng berkata elemen mens rea dalam kes tersebut seharusnya niat kesemua tertuduh dan dua lagi yang masih bebas yang menjadi punca kematian.

Menurutnya jika niat bersama adalah untuk menyamun dibuktikan maka tidak ada keterangan menunjukkan bahawa niat bersama adalah untuk menyebabkan kematian.

"Siapa yang menyebabkan kematian masih belum terbukti dan tidak ada keterangan dengan apa yang berlaku dalam klinik itu," katanya.

Gooi berkata dengan ketiadaan keterangan langsung maka keterangan mengikut keadaan yang dibentuk harus diperkukuhkan. BERNAMA

Artikel Lain