suria

45 pencalonan Muhyiddin layak tanding Timbalan Presiden

[DIKEMAS KINI] GERIK: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno setelah mendapat 45 pencalonan.

Umno Bahagian Gerik, Bukit Gantang, Bakri, Ledang, Ipoh Barat, Segambut, Niobong Tebal dan Lenggong yang mengadakan persidangan perwakilan hari ini telah mencalonkan Muhyiddin ke jawatan tersebut.

Muhyiddidn merupakan Naib Presiden Umno sekarang.

Dua lagi calon jawatan Timbalan Presiden ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib masing- masing memperoleh enam dan lima pencalonan hingga kini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden Umno depan dengan mengumpul 59 pencalonan sehingga petang ini.

Hingga pukul 6 petang tadi, Najib menerima 14 lagi pencalonan iaitu daripada Bahagian Gerik, Kuala Langat, Bukit Gantang, Bakri, Ledang, Nibong Tebal, Ipoh Barat, Segambut, Lenggong, Bukit Katil, Alor Gajah, Masjid Tanah, Bandar Tun Razak dan Segambut.

Had kelayakan pertandingan bagi jawatan Presiden ialah sekurang-kurangnya 58 pencalonan manakala bagi jawatan Timbalan Presiden ialah sekurang-kurangnya 39 pencalonan.

Umno Bahagian Gerik turut mencalonkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk jawatan Naib Presiden.

Dengan pencalonan itu, Hishammuddin yang mendahului 11 calon untuk merebut jawatan itu kini mengumpul 48 pencalonan manakala Mohd Shafie Apdal yang merupakan calon kedua tertinggi kini mengumpul 27 pencalonan, diikuti Ahmad Zahid dengan mendapat 23 pencalonan.

Calon-calon Naib Presiden yang lain masih mengekalkan jumlah pencalonan mereka iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (17), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (8) dan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (5).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim (5); Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4), bekas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (3), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan (2) dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan Tan Sri Annuar Musa (satu).

Artikel Berikut

Artikel Lain