suria

Chew anggap barisan kepimpinan baru Wanita MCA hadiah hari jadinya yang terbaik

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MCA yang baru dilantik Datuk Paduka Chew Mei Fun, yang menyambut hari jadinya yang ke-44 hari ini menganggap barisan baru kepimpinan sayap wanita parti itu sebagai hadiah harijadinya yang terbaik.

"Saya menganggap barisan kepimpinan Wanita MCA yang baru ini sebagai sebuah pasukan yang kuat, dan menjadi hadiah terbaik yang pernah diperolehi. Saya ingin nyatakan di sini yang saya amat bangga menjadi ketua pergerakan Wanita paling muda yang dilantik ke jawatan ini dalam sejarah parti," kata Chew kepada Bernama selepas tamat Perhimpunan Agung Tahunan Wanita MCA ke-33 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Chew memenangi jawatan ketua Wanita MCA tanpa perlu bertanding apabila hari penamaan calon untuk jawatan itu selesai pada hari Isnin lepas.

Ditanya mengenai rancangan masa depannya, Chew yang juga Ketua Wanita MCA Selangor berkata pergerakan itu kini akan mengadakan mesyuarat lebih kerap dengan pemimpin-pemimpin jawatankuasa pusat, untuk menjayakan sesi sumbang saran bagi merangka rancangan tahunan pergerakan itu.

"Memandangkan barisan kepimpinan Wanita MCA sudah disenaraikan hari ini, tugas pertama saya adalah untuk merangka satu rancangan untuk menjalankan aktiviti dan programprogram untuk kebaikan komuniti Cina," -katanya graduan kesusasteraan Cina dari Taiwan itu.

Berhubung kebajikan wanita, Chew berkata sayap MCA itu akan meningkatkan usaha kearah memberikan sokongan kepada semua birobiro bantuan di seluruh negara bagi membantu kaum wanita, kanak-kanak serta keluarga yang tidak bernasib baik.

Beliau berkata dengan keanggotaan kira-kira 400,000 orang, Wanita MCA merupakan sayap parti yang terbesar, dan keadaan itu seharusnya diterserlah dalam arena politik dan juga komuniti.

Katanya tiada had usia untuk memegang jawatan Ketua Wanita pergerakan itu, dan menambah beliau bersedia untuk bekerja sehingga akhir hayat semata-mata untuk meningkatkan status sosio ekonomi komuniti.

Jawatan timbalan ketua Wanita MCA juga menyaksikan tiada pertandingan, dengan jawatan itu menjadi milik bekas setiausaha agung Wanita MCA Datuk Yu Chok Tow, begitu juga empat jawatan naib pengerusi wanita MCA yang dimenangi tanpa pertandingan oleh Agnes Shim, Datuk Christina Lim Bee Kau, Datuk Lee Pit Chern dan Tan Ah Eng.

Seramai 23 calon yang berjaya menduduki Jawatankuasa Pusat Wanita hari ini ialah Lai Poey Yee, Chai Yat Chiew, Chiew Hong Lan, Ong Siew Giok, Chong Sou Chan, Chang Seok Sin, Tan Boon Kiat, Liau Ah Keng, Chua Fong Ling dan Tan Tok Kee.

Selainnya ialah; Lee Geoh Lan, Gan Soo Bing, Wong Pik Min, Goh Hui Peng, Chong Saw Fen, Yap Yim Ming, Lim Kee Moi, Tan Choo Kuan, Saw Ooi Leng, Leong Siew Kam, Chong Mui, Goh Swee Gim dan Chan Lea See. BERNAMA

Artikel Lain