suria

Umno Tanah Merah buat laporan polis terhadap jawatankuasa pemantau

TANAH MERAH: Umno Bahagian Tanah Merah hari ini membuat laporan polis berhubung salah laku Jawatankuasa Pemantau Perhubungan Umno Negeri Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di bahagian itu, baru-baru ini.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah di sini pada pukul 1.20 tengah hari bagi membantah tindakan jawatankuasa berkenaan disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan.

Setiausaha Umno bahagian itu, Amran Abdul Rahman berkata berdasarkan kepada perjanjian, jawatankuasa itu akan menyerahkan laporan mesyuarat selepas dua hari setiap persidangan cawangan diadakan.

"Bagaimanapun sehingga hari ini, laporan yang dijanjikan tidak diserahkan sebaliknya ia diserahkan kepada pihak lain yang tidak berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Menurut Amran, sebelum persidangan cawangan bermula dari 4 Oktober hingga 10 Oktober lepas, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Khas kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaakub bersetuju untuk menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada bahagian.

Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini laporan yang diminta untuk simpanan bahagian tidak diserahkan.

"Yang peliknya jawatankuasa terbabit menyerahkan laporan itu kepada pihak lain sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan media pada 11 Okt lepas," katanya. Beliau yang mengesyaki ada unsur-unsur penipuan meminta siasatan dibuat bagi menentukan kesahihan mesyuarat diadakan dan mendapatkan laporan lengkap keputusan persidangan yang diadakan.

Ketua Polis Tanah Merah, Supt. Abdul Aziz Mahmud ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain