suria

3 anak bekas Perdana Menteri dahului pencalonan Umno

PETALING JAYA: Tiga anak bekas Perdana Menteri kini mendahului senarai pencalonan pemilihan peringkat pusat Umno dengan dua daripada mereka sudah pun melepasi had kelayakan untuk bertanding.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir berada di kedudukan teratas senarai pencalonan masing-masing jawatan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Pemuda.

Setelah 30 bahagian selesai mengadakan persidangan perwakilan sehingga kelmarin, Najib memperoleh kesemua pencalonan bagi jawatan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden, Hishammuddin pula telah memperoleh 25 pencalonan, disusuli Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (16), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (15), Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin (11), Datuk Seri Syed Hamid Albar (6), Datuk Seri Dr. Rais Yatim (4), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (4), Datuk Seri Shahidan Kassim (3), Datuk Seri Mohamad Hasan (2), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (2), Tan Sri Annuar Musa (1).

Jawatan itu memerlukan pencalonan minimum 20.

Bagi jawatan Timbalan Presiden yang memerlukan 39 pencalonan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperoleh 24 pencalonan manakala Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib masing-masing tiga pencalonan.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, Mukhriz telah memperoleh 41 pencalonan.

Beliau disusuli oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan 20 pencalonan; Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (12) dan Datuk Zahidi Zainul Abidin pula satu pencalonan.

Najib merupakan anak kepada Perdana Menteri kedua, Hishammuddin (anak Perdana Menteri Ketiga) dan Mukhriz pula anak Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri keempat.

Kini Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan manakala Hishammuddin mengetuai Kementerian Pelajaran.

Mukhriz, Ahli Parlimen Jerlun tidak memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet.

Pencalonan terbaru malam tadi bagi Mukhriz diperoleh daripada Bahagian Merbok.

Hari ini sembilan Wanita Bahagian mengadakan persidangan iaitu Bukit Katil, Kubang Kerian, Cameron Highlands, Jerlun, Alor Star, Merbok, Kuala Terengganu, Kemaman dan Tanjong Piai.

Dalam pada itu, 12 Pemuda Bahagian dijadual mengadakan persidangan masing-masing. Ia terdiri daripada Kubang Kerian, Kuala Nerus, Kemaman, Kuala Kedah, Pendang, Ledang, Batu Pahat, Sembrong, Putatan, Padang Terap, Tanjong Malim dan Selayang.

Tiga Puteri Bahagian juga mengadakan persidangan iaitu Bukit Katil, Alor Gajah dan Putatan.

Hari ini hanya satu bahagian sahaja mengadakan persidangan perwakilan iaitu Petaling Jaya Selatan di Selangor.

Minggu ini sekurang-kurangnya 41 bahagian akan mengadakan persidangan perwakilan.

Dalam pada itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah dicalonkan untuk jawatan Ketua Wanita.

Rafidah telah memperoleh 52 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya itu.

Pencalonan Shahrizat, Naib Ketua Wanita, bagi jawatan itu ialah 12.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita, Shahrizat telah memperoleh 57 pencalonan, Datuk Kamalia Ibrahim (lapan), Datuk Seri Azalina Othman Said (empat) dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (dua).

Lima nama dicadangkan untuk jawatan Naib Ketua Pemuda iaitu Razali Ibrahim (36 pencalonan), Datuk Reezal Merican Nainan Merican (30), Bahrul Razha Chuprat (dua), Faizal Abdullah (satu) dan Marzuki Yahya (satu).

Malah lima nama dicalonkan untuk jawatan Ketua Puteri iaitu Datuk Shahaniza Shamsuddin (33), Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (29), Datin Ismalina Ismail (18), Bibi Sharliza Mohd. Khalid (12) dan Azlina Mehtab Mohd. Ishaq (lima).

Naib Ketua Puteri juga memperlihatkan lima pemimpin dicalonkan iaitu Nolee Ashilin Radzi (31), Shahanim Mohd. Yusof (21), Senator Datuk Nordiana Shafie (15), Dr. Wan Norashikin Wan Nordin (15) dan Haslinda Zerain (13).

Artikel Sebelum

Zahidi tewaskan Azmi Khalid

Artikel Lain