suria

Abdul Aziz umum pertahan jawatan anggota MT Umno

SHAH ALAM:Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin mengumumkan akan mempertahankan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang disandangnya sejak dua penggal lepas, pada pemilihan nanti.

Beliau berkata hasratnya mempertahankan jawatan itu bertujuan memastikan Umno terus dibarisi gandingan pimpinan muda dan veteran dalam usaha mewujudkan suasana seimbang semasa memperjuangkan agenda memartabatkan orang Melayu.

"Saya lewat umumkan hasrat ini sebagai menghormati 'endorsement' daripada Umno Perak yang sudah menyatakan persetujuan dan sokongan terhadap saya untuk pertahankan jawatan sebagai anggota MT," katanya dalam satu persidangan media di kediamannya di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata beliau yakin pengalaman dan sumbangan yang diberikan selama ini sebagai orang yang telah 27 tahun bersama Umno masih relevan.

Beliau bagaimanapun akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Gopeng pada 26 Okt ini untuk memberi laluan kepada muka baru selepas menyandang jawatan itu sejak Mac 1987, dan berikutan itu, katanya beliau akan tampil sebagai calon 'bebas' tanpa mewakili manamana bahagian Umno bagi mengisi jawatan sebagai anggota MT.

Abdul Aziz gagal mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum lepas apabila tewas kepada calon Pas Khalid Abd Samad dengan 9,314 undi. BERNAMA

Artikel Lain