suria

Suhakam minta kerajaan tarik balik pengharaman Hindraf

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini meminta kerajaan menarik balik pengharaman terhadap Hindu Rights Actions Force (Hindraf).

Tiga pesuruhjayanya Tan Sri Simon Sipaun, Datuk Dr. Michael Yeoh Oon Kheng dan Datuk Dr. Denison Jayasooria dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, pengharaman itu akan menyisihkan pergerakan sosial berkenaan daripada masyarakat arus perdana.

"Suhakam juga berpendapat bahawa pengharaman terhadap Hindraf tidak akan menyelesaikan isuisu yang diperjuangkan kumpulan dan individu pergerakan itu," menurutnya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada tindakan Kementerian Dalam Negeri semalam yang mengharamkan pergerakan Hindraf.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata pengharaman itu dibuat selepas kementerian berkenaan mempunyai segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Suhakam juga berkata pengharaman Hindraf merupakan satu pencabulan terhadap hak asasi manusia.

"Sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Hindraf menghantar satu permohonan kepada mendaftar sebagai sebuah pertubuhan pada 16 Oktober 2007.

"Pihak kementerian seharusnya meluluskan pendaftaran penubuhannya, dan meletakkan tanggungjawab kegiatan persatuan itu terhadap pemimpinnya," menurut kenyataan itu.

Oleh itu Suhakam meminta supaya pengharaman itu ditarik balik bagi membolehkan individu dan kumpulan anggota pertubuhan itu dijadikan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap segala tindak tanduk pergerakan itu.

Syed Hamid sebelum ini berkata, walaupun usaha Hindraf untuk mendaftar penubuhannya tidak diluluskan, kumpulan itu dieksploitasi secara aktif oleh komuniti India untuk menganjurkan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan tanpa permit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahidi tewaskan Azmi Khalid

Artikel Lain