suria

70000 anak ikan Senangin diseludup dari Taiwan dirampas

KUALA LUMPUR:Sebanyak 70,000 anak ikan 'Senangin Taiwan' (Pompano) yang diseludup dari Taiwan dirampas oleh pasukan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi petang semalam.

Anak-anak ikan bernilai lebih RM65,000 itu yang tidak mendapat permit import dari Jabatan Perikanan, dirampas di bahagian kargo lapangan terbang itu semasa tiga lelaki pergi untuk mengambilnya pada pukul 6.05 petang.

Ketua Maqis Langkawi Mohammad Suffian berkata ketigatiga lelaki berusia dalam lingkungan 40an telah diminta memberi keterangan mengenai kejadian itu sebelum mereka dibebaskan.

Bercakap kepada Bernama, Mohamad berkata anakanak ikan itu dikatakan hanya untuk dibela dan dijadikan sebagai ikan hiasan dan apabila sudah besar, ia akan dihantar kembali untuk dijadikan baka.

Beliau berkata rampasan itu, yang pertama oleh Maqis sejak ia ditubuhkan pada 1 Julai lepas di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, adalah hasil maklumat yang diterima dari Maqis cawangan Kuala Lumpur.

"Kita mendapat maklumat bahawa satu penerbangan dari Taiwan yang transit di Kuala Lumpur sebelum menuju ke Langkawi dikesan membawa beberapa kotak mengandungi ikan hidup.

"Operasi yang diketuai Abdul Rahim Abdullah itu mendapati seorang agen bersama dua pemandu sedang menunggu untuk mengambil kotak-kotak berkenaan di bahagian kargo," katanya.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 100 kotak yang berisi 70,000 ekor anak ikan seberat 1,140 kg ditemui.

Anak-anak ikan yang dirampas itu kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Perikanan.

Maqis berperanan sebagai badan tunggal dalam segala urusan kuarantin dan pemeriksaan import/export bagi tumbuhan, haiwan, unggas, ikan, keluaran pertanian dan juga makanan.

Sebelum ini ia dikendalikan oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain