suria

3 undangundang tubuh suruhanjaya dibentang sebelum PM berundur

PUTRAJAYA: Tiga rang undang-undang berkaitan penubuhan suruhanjaya pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan aduan khas akan dibentangkan pada persidangan Parlimen sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tugas kepada penggantinya pada Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah akan dibentang pada sesi Dewan Rakyat ini.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Aduan Khas pula akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang dijadualkan pada Februari tahun depan, katanya.

"Ini adalah perubahan yang disebut-sebut beliau (Abdullah) dan kita berharap untuk melaksanakannya sebelum beliau berundur.

"Kita ambil langkah ini agar segala janji Perdana Menteri dapat ditunaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Abdullah sebelum ini menyenaraikan tiga inisiatif utama untuk dilaksanakan sebelum beliau menyerahkan tugasnya kepada penggantinya selepas berakhirnya tempoh penggal Presiden Umno pada Mac 2009 iaitu inisiatif pertama untuk memperkukuhkan institusi negara dengan melibatkan penubuhan tiga buah suruhanjaya yang berkaitan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan aduan khas.

Inisiatif kedua membabitkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan memperluas jaringan keselamatan sosial kerana kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihagihkan secara adil ke serata negara dan ketiga, beliau ingin melihat kerajaan dan Barisan Nasional (BN) memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

Nazri berkata tiga suruhanjaya tersebut akan dilaksanakan sebelum Abdullah berundur dan sehubungan itu, sesi Parlimen ketika ini akan dilanjutkan seminggu lagi iaitu empat hari, yang sepatutnya berakhir pada 11 Disember tetapi akan berakhir pada 18 Disember.

Katanya ia bagi memberi kesempatan kepada dua rang undang-undang suruhanjaya tersebut dapat dibahaskan.

"Cuma suruhanjaya aduan khas itu akan dilaksanakan tahun hadapan dan kita sedang merancang pada sidang Parlimen awal tahun hadapan, untuk membolehkan rang undang-undang itu dibentangkan pada Februari, selalunya pada Mac (sidang parlimen)," katanya.

Beliau berkata, draf Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah kini di peringkat akhir manakala Suruhanjaya Pelantikan Hakim yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditentukan.

"Ini sedang dirunding dengan mereka yang terlibat termasuk daripada Badan Kehakiman itu sendiri. Saya juga akan berunding dengan pengamal undang-undang melalui Majlis Peguam pada minggu ini atau minggu hadapan," katanya.

Nazri berkata, suruhanjaya aduan khas yang menggantikan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC) yang bertujuan untuk memperbaiki perkhidmatan polis turut meliputi agensi penguatkuasaan kerajaan yang lain.

"Suruhanjaya itu bagi memperbaiki perkhidmatan polis tetapi Jemaah Menteri membuat keputusan ia tidak patut dikhususkan kepada pihak polis tetapi badan pengaduan untuk semua agensi penguatkuasaan kerajaan yang lain termasuk Kastam dan Jabatan Imigresen," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain