suria

Umur kelayakan mengundi 21 tahun kekal

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk mengurangkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, K. Devamany berkata, kerajaan berpendapat umur matang bagi seseorang warganegara Malaysia adalah 21 tahun dan sebelum umur tersebut, terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang masih lagi di peringkat persekolahan dan kemudiannya terlibat dalam pengajian tinggi.

"Justeru, kerajaan telah menentukan kelayakan umur mengundi bagi rakyat Malaysia apabila berumur 21 tahun," katanya ketika menjawab soalan daripada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, walaupun terdapat peruntukan bahawa umur matang bagi rakyat Malaysia adalah 18 tahun tetapi ia tidak boleh digunakan untuk dijadikan landasan bagi melihat umur pengundi.

"Maka saya rasa sudah cukuplah peruntukan yang sedia ada untuk melihat kesuburan demokrasi itu dapat dicerminkan melalui proses sedia ada.

"Kalau kita tengok kandungan daripada Parlimen ini (di Dewan Rakyat), lebih 80 orang wakilnya adalah pembangkang. Maka proses pengundian telah menunjukkan bahawa pada umur 21 itu sendiri telah menunjukkan kematangan pengundi-pengundi mengikut asas-asas mereka," katanya.

Katanya, setakat ini, kerajaan melihat umur 18 tahun masih terlalu awal untuk mengundi namun katanya,sekiranya peringkat kematangan dilihat semakin baik dan tinggi pada tahap umur tersebut, ia boleh dikaji.

"Maka saya minta supaya kalau ada pandangan sebegitu dan kita rasa secara bersama bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia berkewibawaan untuk mengundi pada umur 18 tahun, kita boleh mengizinkan sekiranya konsensus itu diterima secara umum.

"Bagaimanapun, setakat ini, belum ada konsensus sebegitu. Sekiranya ada, kita tetap terima," katanya.

Artikel Lain