ORANG ramai dinasihatkan supaya lebih cakna ketika memilih perlindungan cermin kereta (windscreen cover) setiap kali memperbaharui insurans kenderaan.Menurut ejen insurans dan takaful kenderaan, Saiful Anwar Malek, masih ramai pemilik mengambil jumlah perlindungan secara sambil lewa tanpa menyemak nilai sebenar cermin kereta mereka. “Setiap tahun bila nak perbaharui insurans, ejen tanya nak windscreen cover RM2,000? Kita pun terus setuju tanpa semak dulu,” katanya.Saiful menjelaskan, kebanyakan orang beranggapan nilai perlindungan cermin kereta ditentukan oleh ejen insurans, sedangkan pelanggan sendiri boleh menentukan jumlah perlindungan yang sesuai."Jangan main bayar je, kena tahu dulu nanti duit anda melayang. Cara paling senang, korang pergi google Autoglass Malaysia."Kemudian, cari model kereta dan semak anggaran harga windscreen yang disyorkan," katanya. Pemilik kenderaan boleh menyemak sendiri nilai pelindungan cermin kereta. -Gambar hiasan AISebagai contoh, jika harga sebenar cermin kereta dianggarkan sekitar RM1,200, tidak perlu mengambil perlindungan sehingga RM3,000 hanya atas andaian keselamatan tambahan.“Insurans bukan macam bufet. Bukan makin banyak ambil, makin untung,” katanya.Saiful turut berkongsi bahawa premium cermin kereta biasanya dikira sekitar 15 peratus daripada jumlah nilai perlindungan yang dipilih."Sebagai contoh, jika seseorang memilih perlindungan RM3,000, premium yang perlu dibayar adalah sekitar RM450."Namun, jika nilai sebenar cermin hanya RM1,200, premium yang perlu dibayar hanyalah sekitar RM180 sahaja," katanya.Jelasnya, perbezaan itu menunjukkan bahawa pemilihan nilai yang tepat boleh membantu pemilik kenderaan menjimatkan kos insurans setiap tahun.Dalam masa sama, Saiful turut menjelaskan bahawa tuntutan bagi perlindungan cermin kereta tidak menjejaskan No Claim Discount (NCD) pemilik kenderaan.Perkara itu menjadikan perlindungan cermin sebagai antara komponen penting yang wajar difahami dengan betul sebelum mengambil polisi insurans.Sehubungan itu, Saiful menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat keputusan secara terburu-buru ketika memperbaharui insurans kenderaan.Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:- Semak harga sebenar windscreen kereta- Jangan setuju nilai perlindungan tanpa rujukan- Pilih jumlah cover yang munasabah“Lima minit semak boleh jimatkan duit untuk setahun. Bijak beli insurans bukan sebab paling murah, tapi sebab kita faham apa yang kita bayar,” katanya.