suria

3 pemimpin pengikut Hindraf disiasat polis

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Polis mengambil keterangan daripada tiga pemimpin dan pengikut kumpulan Hindraf petang ini berhubung dakwaan kekecohan semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet di PWTC 1 Oktober lalu.

Mereka terdiri daripada S. Jayathas, K. Shanti dan A. Selvam.

Ketiga-tiga mereka ditemani peguam Latheefa Koya dan N. Surendran.

Shanti merupakan isteri pengerusi gerakan itu P Waythamoorthy.

Mereka yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangi kira-kira 3 petang memberi keterangan selama sejam.

Surendran berkata, ketiga-tiga mereka disoal siasat dengan 28 soalan di bawah Seksyen 27 Akta Polis dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak menjawab soalan-soalan berkenaan kerana ia tidak tertakluk di bawah kedua-dua undang-undang berkenaan.

Jelas beliau, polis juga tidak menyatakan sama ada ketiga-tiga mereka dikehendaki hadir semula.

Terdahulu Penyelaras pusatnya R. Thanenthiran ketika dihubungi mengesahkan beberapa pemimpin dan pengikut kumpulan itu telah diminta untuk hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Kata beliau, mereka akan berada di Dang Wangi untuk memberikan keterangan dan kami akan memberikan kerjasama kepada polis.

Menurut Thanenthiran, pihak polis telah meminta mereka hadir untuk memberikan kenyataan di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

Rombongan Hindraf didakwa menimbulkan kekecohan dengan memotong barisan orang ramai untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan.

Bagaimanapun menurut Thanenthiran, pihaknya berharap polis akan bertindak adil dengan menyiasat lebih 100 aduan yang telah dibuat ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan akhbar Utusan Malaysiaberikutan kenyataan dan laporan yang didakwanya berbentuk hasutan dan berbau provokasi terhadap mereka.

Sebelum ini Thanenthiran mendakwa laporan muka depan Utusan pada 4 Oktober yang memetik kenyataan Syed Hamid bertajuk "Hindraf diberi Amaran " adalah tidak adil dan bersifat perkauman.

Kata beliau, pihaknya tidak jelas mengapa empat orang berkenaan dipanggil, tetapi polis juga seharusnya memanggil kesemua mereka yang hadir ketika rumah terbuka untuk mendapatkan gambaran sebenar.

"Mereka seharusnya memanggil semua yang hadir, bukan hanya kumpulan Hindraf," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain