suria

Ahmad Shabery sokong Kenyataan PM berhubung Tun M

SHAH ALAM Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya campurtangan dalam pemilihan kepimpinan Umno.

Beliau berkata kenyataan Abdullah itu dibuat kerana Perdana Menteri mahu masa depan negara dan Umno ditentukan oleh rakyat dan anggota parti itu sendiri.

"Sewajarnya sebagai seorang bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak perlu campur tangan dan membuat kenyataan di sana sini kerana ia akan memberi keyakinan yang tidak baik terhadap kepimpinan Umno itu sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed di sini.

Ahmad Shabery berkata campur tangan Dr Mahathir mungkin akan menyebabkan orang melihat bekas Perdana Menteri itu mempunyai kepentingan tertentu kerana percaturan politik itu melibatkan anggota keluarga beliau sendiri.

"Oleh itu adalah lebih baik beliau dilihat sebagai berkecuali dan memerhatikan proses yang berlaku sekarang ini ditentukan oleh orang Umno," katanya.

Beliau berkata dalam Umno tidak ada apa yang dikatakan orang Abdullah atau orang Mahathir kerana semuanya adalah orang Umno dan anggota Umno telah matang serta mampu berfikir sendiri dalam menentukan masa depan mereka. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain