suria

Menang tipis Ahmad Zaki kekal Ketua Pemuda Umno Putrajaya

PUTRAJAYA: Penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Zaki Zahid hari ini berjaya mengekalkan jawatannya itu, walaupun menang tipis dengan kelebihan tiga undi. Ahmad Zaki, 37, yang menyandang jawatan itu sejak 2002, memperoleh 46 undi, berbanding pencabarnya Tun Faisal Ismail Aziz yang mendapat 43 undi, dalam mesyuarat perwakilan pergerakan itu di sini. Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Zaki, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri berkata beliau bersyukur diberikan peluang kedua untuk menerajui perwakilan itu di peringkat bahagian walaupun terpaksa berdepan dengan saingan sengit. "Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan perpaduan, saya tetap akan menunaikan janji-janji saya untuk memastikan kebajikan ahli-ahli dijaga," katanya. Sementara itu, Tun Faisal berkata, beliau akan terus bekerjasama dan berkhidmat dengan kepimpinan bahagian yang telah dipilih bagi memastikan pergerakan lebih kuat di masa-masa akan datang.

Bagi jawatan Naib Pemuda Bahagian pula, bekas Setiausaha Pemuda Bahagian, Mohd Hisamudin Yahya menjadi pilihan perwakilan dengan jumlah 59 undi, berbanding saingannya Mohd Sharel Azlee Zaini 38 undi. Pergerakan Wanita Bahagian Putrajaya bagaimanapun mencipta kejutan apabila penyandang ketua pergerakan itu ditewaskan oleh bekas naibnya sendiri iaitu Sadiah Bakar.

Sadiah, Ketua Cawangan Anggerik, menang dengan kelebihan enam undi dalam perlawanan tiga penjuru itu, menewaskan penyandang Azizah Mohd Nor dan seorang lagi calon iaitu Zarina Ismail, yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian. Pergerakan Puteri Putrajaya pula akan diterajui oleh Hamiza Abdullah Zawawi, yang menang tanpa bertanding. BERNAMA

Artikel Lain