KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini berkata beliau pasrah mengenai peluangnya untuk menang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu Mac tahun depan.
"Saya berserah kepada Allah, bahagian (dalam parti) dan ahliahli Umno," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di sini.
Beliau juga turut ditanya mengenai jumlah pencalonan yang diperolehinya setakat ini selepas menawarkan diri sebagai calon untuk jawatan Timbalan Presiden Umno Khamis lepas.
"Baru hari pertama," katanya merujuk kepada mesyuarat bahagian Umno yang bermula Khamis lepas tanpa mendedahkan jumlah pencalonan bakal yang diperolehinya.
Selain Muhammad, turut menawarkan diri untuk jawatan yang sama ialah Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Ali Rustam, Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dan seorang lagi Naib Presiden Umno iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum itu, semasa berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Felcra, Muhammad juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mahu pengurusan tertinggi Felcra supaya mempertingkatkan produktiviti ladang sama seperti yang dikeluarkan oleh sektor swasta.
"Pihak pengurusan tertinggi Felcra Berhad perlu memikirkan cara dan mencari jalan untuk meningkatkan produktiviti," kata beliau.
Beliau berkata bagi tujuan ini, kerajaan perlu memantau syarikat yang mengeluar dan membekalkan baja bagi memastikan harga bahan tersebut tidak meningkat.
"Saya berharap pihak pengurusan Felcra dapat menangani perkara ini dengan meramal dan bersedia untuk mengatasi masalah ini pada masa depan," katanya. Selain itu, Muhammad berkata kerajaan perlu memastikan politik negara kembali stabil selepas "terganggu seketika" selepas pilihan raya umum ke12 Mac lepas.
"Apabila keadaan politik kembali stabil, saya harap kita akan sentiasa jitu dan setiap langkah yang kita ambil mesti dikaji serta diteliti dengan baik" katanya lagi.
Pada majlis itu, Felcra Berhad turut menyampaikan sumbangan korporat kepada pelajar miskin, rumah anak yatim dan ibu tunggal. BERNAMA


