suria

Shafie akui dalam politik tidak boleh harap sokongan 100 peratus perwakilan

SEMPORNA: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui bahawa dalam politik beliau tidak boleh mengharapkan mendapat sokongan 100 peratus daripada perwakilan Umno untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.

Sambil menyifatkan fenomena ada yang menyokong dan ada yang tidak dalam pertandingan untuk sesuatu jawatan sebagai bukan perkara baru, Shafie bagaimanapun berkata adalah menjadi hak seseorang untuk menawarkan diri bertanding apa-apa jawatan.

"Apa yang penting kepada kita ialah kita menawarkan diri. Kalaupun ada yang mengatakan kita tidak ada hak atau tidak layak itu sepatutnya tidak boleh diperkatakan kerana ia (hak menawarkan diri) adalah hak individu.

"Sama ada kita kalah atau menang itu lain cerita," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keputusan Umno Kimanis tidak menyenaraikannya sebagai calon naib presiden pada pemilihan Umno Mac tahun depan.

Shafie berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Semporna di Dewan Masyarakat Semporna di sini hari ini.

Shafie berkata beliau mempunyai alasan tersendiri untuk menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden Umno berdasarkan perkembangan politik semasa di negara ini termasuk di Sabah.

Katanya, selepas berbincang dengan rakanrakan dalam Umno termasuk dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan selepas mengambil kira perkembangan semasa, beliau berpendapat ada keperluan bagi calon dari Sabah untuk bertanding jawatan berkenaan.

"Tidak semestinya saya menawarkan diri akan mendapat 100 peratus sokongan. Tetapi ada keperluan di peringkat negeri Sabah kerana kebelakangan ini kita ada mendengar orang menyuarakan di Parlimen mengenai kurangnya penyertaan orang Sabah dalam pentadbiran kerajaan serta pembangunan prasarana asas.

"Jadi saya menawarkan diri kerana saya lihat kita boleh memberi sumbangan kepada kekuatan parti kita. Lagipun saya sudah lima penggal dalam Majlis Tertinggi Umno," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie meminta anggota Umno di semua peringkat supaya mengikis sama sekali sikap mementingkan diri ketika berjuang dalam parti bagi memastikan parti terus kukuh seterusnya menerajui pemerintahan negara bagi membela nasib anak cucu, bangsa dan agama mereka pada masa depan.

Katanya anggota Umno tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam parti untuk kepentingan peribadi kerana ia bukan sahaja akan melemahkan Umno malah boleh menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa kepada pihak pembangkang.

Tidak mustahil nasib yang menimpa BN di Semenanjung menular ke Sabah sekiranya anggota parti terlalu leka mengejar jawatan sehingga membelakangkan keutamaan menjaga keutuhan parti, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain