suria

Abdullah Perpaduan nasional cabaran terbesar Najib

PUTRAJAYA:Mengukuhkan perpaduan nasional merupakan cabaran paling besar yang akan dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau menerajui negara selepas ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata pengganti beliau itu perlu memberi keutamaan terhadap isu berkenaan memandangkan keadaan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia tidak begitu baik kebelakangan ini.

"Saya rasa saya telah berjaya selama ini, tapi kami perlu kembali kepada asas dan memahami bahawa Malaysia menjadi lebih kuat hasil daripada gandingan pelbagai kaum dan komuniti yang kita ada," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama.

Sambil menyatakan bahawa kepelbagaian kaum dan agama yang wujud di Malaysia merupakan suatu rahmat dan bukan suatu petaka, beliau berkata rakyat Malaysia tidak sepatutnya membiarkan "aset" ini bertukar menjadi perkara "negatif".

"Kita perlu tangani isu ini secara berdepan, dengan jujur dan penuh kefahaman. Selepas lebih 50 tahun Merdeka, isu ini akan terus kekal bersama kita.

"Apabila satu generasi sudah memahaminya, akan muncul pula generasi baru yang perlu dididik dan diberitahu tentang bagaimana mereka patut hidup bersama, tanpa bersengketa. Jadi, mereka mendapat pendidikan tentang subjek hubungan kaum dan toleransi beragama," kata beliau.

Abdullah berkata pengetahuan atau kefahaman tentang toleransi kaum dan agama yang perlu diketahui oleh setiap rakyat Malaysia adalah umpama perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam sesuatu keluarga.

"Apabila lahir generasi baru, pada peringkat tertentu, mereka perlu diberitahu tentang keluarga itu, apa yang menjadi pegangan kita, apa yang ingin kita lihat, bagaimana mereka patut main peranan mereka dan bagaimana mereka patut berperilaku.

Ini semua sangat penting. Jadi, apabila muncul satu generasi baru, mereka perlu dididik.

Isu ini akan kekal bersama kita untuk tempoh yang amat lama. Inilah cabaran paling besar yang akan dihadapi oleh Najib," kata beliau.

Diminta mengulas pandangan pihak tertentu bahawa beliau melangkah ke belakang berhubung dialog antara agama, Abdullah berkata anggapan itu tidak betul.

"Apa yang saya kata ialah perbincangan sensitif ini perlu ditangani dengan amat berhati-hati, mungkin secara tertutup kerana ia merupakan subjek yang sensitif dan mudah meledak.

Setiap kali ia ditimbulkan, akan ada pihak yang berasa terancam, mereka berasa seolaholah hak dan sensitiviti mereka dipijak-pijak," katanya.

Menjawab soalan apakah yang perlu dilakukan Barisan Nasional bagi mendapatkan semula kepercayaan dan sokongan rakyat Malaysia, beliau berkata formula parti gabungan telah terbukti berjaya selama lebih 50 thun lepas, mula-mula sebagai Perikatan dan kemudian sebagai Barisan Nasional.

"Bagi saya, ia model yang baik kerana ia memberi tempat kepada setiap orang. Pembangkang juga telah menubuhkan Perikatan, tapi rasa saya ia sukar untuk berjaya kerana mereka mempunyai ideologi yang begitu berbeza.

Tapi, seperti perkara lain, formula kami ini perlu dikaji semula dari semasa ke semasa.

"Dalam sesuatu "keluarga" besar, kesulitan pasti wujud. Ada orang berkata Umno terlalu dominan. Sesetengah pihak dalam Umno pula berpendapat bahawa pihak lain membuat terlalu banyak tuntutan.

Apa yang pasti ialah kami perlu lebih jelas. Kami perlu berbincang bagaimana untuk menjadikan gabungan kami ini lebih berkesan.

"Sebab itulah saya minta Konvensyen BN diadakan awal bulan depan. Mungkin, ia tidak memberi semua jawapan, tapi sudah pasti ia akan meletakkan kami di landasan yang betul," katanya. Diminta mengulas kenyataan sesetengah pemerhati bahawa Barisan Nasional tetap mengalami nasib kurang baik pada pilihan raya umum lepas, tanpa mengira siapa yang menerajuinya, Abdullah berkata:

"Saya tak tahu. Saya tak mahu kata apaapa, saya tak pernah berfikir tentang perkara itu.

Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah tidak bercakap tentang apa yang telah berlaku atau siapa yang lebih layak menjadi ketua, tapi kami telah mengambil iktibar daripada pengalaman pada pilihan raya umum lepas.

"Apa yang perlu kami lakukan pada pilihan raya umum akan datang ialah berusaha dengan lebih gigih berbanding sebelumnya.

Apa yang jelas ialah kami kena dengar dengan lebih teliti apa yang diinginkan oleh rakyat dan memberinya kepada mereka. BERNAMA

Artikel Lain