suria

Abdullah tidak menyesal serah kuasa awal

PUTRAJAYA; Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau tidak menyesal dengan keputusannya melaksanakan pelan peralihan lebih awal dengan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Keputusan itu tidak mengganggu saya. Satu keputusan telah dilakukan dan saya telah menimbangkannya dengan amat teliti. Saya berasa selesa mengenainya dan itulah sebabnya saya berasa ceria," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Bernama sebagai mengulas soalan bagaimana beliau boleh berasa ceria semasa membuat pengumuman pada Rabu lepas kerana ia bermaksud hilang pegangan kuasa penting.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana telah memudahkan saya membuat keputusan. Saya rasa apa saya lakukan adalah demi kepentingan negara dan parti," kata Abdullah, yang memakai Baju Melayu coklat dan kelihatan tenang di kediaman rasminya di Seri Perdana.

Setelah membuat keputusan berkenaan, beliau berkata ia "akan membolehkan kita untuk memberi tumpuan kepada tugas yang ada" merujuk politik berlebihlebihan yang berlaku sejak pilihan raya umum 8 Mac lepas dan keperluan untuk menumpukan perhatian bagi memenuhi kehendak aspirasi rakyat.

"Saya mahu menggunakan sepenuhnya bulan-bulan terakhir untuk melaksanakan agenda saya. Meninggalkan satu keadaan jawatan utama dan menyerahkan kuasa penting bukan keutamaan saya."

Ditanya mengenai apakah yang difikirkannya sebelum beliau membuat keputusan, beliau menjawab:

"Saya perlu menyatakan ini. Selepas pilihan raya, terdapat orang yang menyatakan bahawa saya mesti mengundurkan diri. Beberapa orang menyatakan bahawa saya bertanggungjawab terhadap keputusan yang tidak seorang pun (dalam Barisan Nasional) suka, yang mengejutkan anggota parti, terutamanya Umno.

"Namun ada juga orang lain yang bersungguhsungguh menyokong saya dan mahu saya kekal untuk meneruskan tugas saya. Dan apabila mereka datang ke rumah saya dalam satu kumpulan yang besar, menyatakan kepada saya "Datuk Seri tidak boleh mengundurkan diri, Datuk Seri mempunyai misi, Datuk Seri perlu menyelesaikan misi itu."

"Saya mendengar setiap pihak dan pada masa yang sama saya melihat hakikat sebenar, memikirkan masa hadapan dan akhirnya saya membuat keputusan muktamad bahawa inilah masanya yang sesuai untuk saya menyerahkan tanggungjawab saya," katanya.

Ditanya, adakah beliau memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mengenai keputusannya tidak mempertahan jawatan Presiden Umno, Perdana Menteri berkata beliau tidak memaklumkannya kepada ia adalah soal parti.

"Saya masih Perdana Menteri. Apabila tiba masanya untuk menyerahkan atau melantik pengganti kepada Perdana Menteri, hanya ketika itu adalah penting untuk memaklumkan kepada Seri Paduka Baginda," beliau menjelaskan.

Abdullah berkata kerajaan telah meletakkan asas yang baik dan berpegang kepada Misi Nasional sebagai panduan negara ini boleh mencapai matlamat Wawasan 2020.

"Saya yakin pengganti saya akan menyambung kerja saya dan melakukan apa yang perlu untuk membawa kita mencapai matlamat itu," katanya, sambil menambah kata bahawa walaupun beliau bukan lagi perdana menteri, satu asas yang baik telah diletakkan untuk pemimpin lain.

"Ya, saya percaya masanya sudah tiba untuk pemimpin generasi baru mengambil alih. Apa yang penting adalah Umno dan Barisan Nasional mestilah bersatu dalam menangani segala cabaran yang dihadapi.

"Saya percaya sikap dan tindaktanduk anggota parti akan menentukan masa depan parti. Itu paling utama. Jika mereka meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri, Umno akan selamat."

Ditanya mengenai desakan pihak tertentu spaya beliau mengundurkan diri sekarang dan bukannya pada Mac atau beliau seharusnya diam mulai sekarang hingga waktu beliau menyerahkan kuasa, Abdullah berkata beliau amat menyedari apa yang mahu dilakukannya.

"Saya telah merancang persaraan saya, saya telah merancang terlebih dahulu bila saya perlu menyerahkan kuasa dan apa yang perlu dilakukan. Saya terus kekal bukan untuk mendapat nama sebagai perdana menteri. Saya memutuskan untuk kekal kerana saya mempunyai misi. Saya mesti menunaikan janji-janji saya dengan baik terutamanya untuk melakukan pembaharuan. Ingat, saya dikritik kerana telah membuat janji-janji yang disukai dan disambut baik oleh rakyat dan mereka kemudiannya menyatakan saya tidak mengotakan janji-janji.

"Tetapi saya tidak dapat menunaikan kesemuanya dalam tempoh empat tahun pertama kerana saya menumpukan kepada perkaraperkara lain. Tetapi ada satu perkara yang perlu saya nyatakan di sini bahawa manifesto pilihan raya 2004 bukanlah hanya untuk empat tahun (yang berakhir hingga 2008) iaitu tempoh semasa saya memegang tampuk pemerintahan dan kemudiannya saya akan membuat manifesto lain."

Abdullah berkata beliau hanya menerajui tampuk pemerintahan selepas tempoh masa pertama pelaksanaan Wawasan 2020 dan beliau masih mempunyai tempoh tiga hingga lima tahun untuk melaksanakan beberapa program. "Saya memikirkan bahawa dalam tempoh masa kedua di mana saya fikir boleh memilih untuk melaksanakan apa yang saya mahukan dan pada peringkat mana. Tetapi wujud satu perasaan kecewa mengenai apa yang diharapkan oleh rakyat terhadap apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak saya lakukan.

"Maka, apabila saya mengumumkan akan mengadakan pembaharuan dalam kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah, terdapat satu sokongan amat kuat. Ada orang yang kini mempersoalkan mengapa saya tidak mengumumkan pembaharuanpembaharuan ini sebelum pilihan raya lepas dan mereka pasti akan menyokong tindakan berkenaan."

"Apapun, ia kini tidak penting lagi kerana apa yang berlaku telahpun berlaku. Saya akan memastikan bahawa saya akan melakukan beberapa pembaharuan dan program ekonomi. Abdullah berkata memandangkan beliau masih merupakan Perdana Menteri, beliau tidak nampak kenapa beliau perlu diam.

"Mungkin mereka yang meminta supaya saya diam mahu memonopoli tumpuan itu untuk diri sendiri," katanya.

Ditanya apakah beliau akan berasa kehilangan kesibukan memegang tampuk pemerintahan negara, beliau berkata:

"Mungkin, tetapi saya akan merasakannya apabila saya bersara. Ia akan menjadi masa untuk orang lain. Saya boleh menyatakan bahawa saya tidak akan cuba untuk "mentadbir dari luar."

Abdullah, apabila diminta menyenaraikan apakah pencapaian besarnya semasa menjadi perdana menteri setakat ini, berkata:

"Hakikatnya, masa saya masih belum tamat lagi. Lebih molek kita membicarakannya selepas saya menamatkan tempoh perkhidmatan dan saya bersara."

Ditanya adakah kerana kemerosotan sokongan menjadi punca prestasi buruk Barisan Nasional dalam pilihan raya umum tahun ini, beliau berkata:

"Itulah yang diperkatakan oleh ramai orang dan saya cenderung untuk mempercayai apa yang diperkatakan mereka. Perkara ini adalah sebahagian daripada aduanaduan serius kerana janji pembaharuan menggembirakan ramai orang berdasarkan daripada komenkomen dalam laporanlaporan akhbar selepas pilihan raya 2004."

Beliau berkata kerajaan perlu melakukan lebih daripada dan ia juga telah gagal melaksanakan beberapa program.

"Kami tidak menyelesaikannya. Apapun, yang lepas telah berlalu. Saya sentiasa ingin memulakan perubahanperubahan ini, tetapi saya ini melakukannya secara beransuransur. "Tetapi rakyat mungkin mahukan saya bertindak lebih cepat dan mungkin inilah sebabnya mereka meluahkan rasa tidak puas hati. Dalam apa jua kes, saya telah menyatakan saya mahu melaksanakan pembaharuan terhadap institusi berkenaan dan melancarkan jaring keselamatan sosial yang akan meliputi 110,000 isi rumah."

Ditanya jika beliau mempunyai peluang untuk melakukannya sekali lagi, adakah anda akan merancang sesuatu yang berbeza bagi pilihan raya umum ke12 daripada segi masa dan isuisu berbangkit, beliau berkata pengaturan masa itu telah difikirkan dengan sebaik-baiknya.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau mahu mendapatkan mandat baru kerana sebelum pilihan raya umum terdapat amat banyak kritikan terhadap pelbagai perkara.

"Maka, saya fikir bahawa adalah lebih baik untuk mendapat mandat baru. Itulah sebabnya mengapa saya memutuskan untuk mengadakan pilihan raya pada masa itu apabila ramai orang berpendapat ia agak terlalu awal.

Tetapi saya fikir jika saya menangguhkannya, ia mungkin mempunyai risiko. Lihat apa yang telah berlaku selepas pilihan raya umum lepas apabila harga minyak naik, harga makanan turut naik. Beberapa masalah lain juga timbul.

Saya fikir ia akan menjadi lebih sukar kepada kita apabila memperoleh keputusan yang menyaksikan kita mempunyai kelebihan 58 kerusi daripada pembangkang."

Abdullah berkata jika BN menangguhkan pilihan raya itu, ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan kerana "kita terpaksa menangani beberapa masalah seperti harga minyak yang melambung, inflasi dan kegawatan ekonomi dunia seperti yang kita alami sekarang."

Beliau berkata di banyak negara membangun lain, mempunyai kelebihan 58 kerusi menggambarkan satu kemenangan besar.

"Saya bertemu dengan beberapa rakan sejawatan negara lain dan mereka bertanyakan saya apakah yang kecoh sangat di Malaysia.

Saya memberitahu mereka bahawa saya tidak memperoleh dua pertiga majoriti dan mereka menyatakan:

"Apa? Kami tidak pernah mendapat majoriti dua pertiga. Apakah yang begitu dikhuatirkan dengan dua pertiga."

"Saya menyatakan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat Malaysia, mereka sentiasa mahukan bahagian yang mereka selalu ada. Sama ada mereka lapar atau tidak, itu tidak penting, mereka sentiasa mahukan bahagian yang mereka lazim memilikinya."

Ditanya sama ada sikap terbuka beliau menjadi punca kepada kejatuhan politiknya, beliau berkata ramai orang mempunyai pendapat masing-masing.

"Tapi biarlah kita bersikap realistik tentang perkara ini. Pada era ini, di mana manusia mempunyai akses kepada maklumat melalui begitu banyak sumber, logik bagi perkembangan ini ialah seseorang itu wajar mengamalkan sikap terbuka.

"Jangan kongkong akhbar. Jika ada akhbar tertentu membuat penapisan yang terlalu ketat terhadap subjek tertentu, orang masih boleh mendapatkan maklumat berkenaan melalui sumber lain.

Jadi, akhbar akan berasa bimbang mereka dituduh tidak menyatakan perkara sebenar. Itulah bentuk keterbukaan yang perlu kita akui dan terima (pada zaman ini).

"Kini, telah muncul satu generasi baru yang berpendidikan tinggi, muda dan lebih bermaklumat. Orang tidak lagi bodoh atau kurang maklumat, oleh itu BN perlu berkebolehan untuk memberi penerangan mengenai dasarnya dengan lebih berkesan."

Abdullah berkata masalah yang dihadapi sebelum ini ialah kami (kerajaan) tidak mampu memberi penjelasan secara lebih berkesan tentang dasar kami dalam usaha menangani keadaan yang wujud.

"Keadaan ini adalah sesuatu yang baru bagi kami, termasuk saya sendiri, kerana setelah kami memberi kebebasan terhadap sikap terbuka, kami perlu mampu menanganinya dan rakyat pula telah memberi reaksi yang cukup mengghairahkan terhadap kebebasan ini, hinggakan mereka berpendapat bahawa kebebasan bererti mereka boleh berkata apa saja yang mereka mahu, seperti yang berlaku dalam laman blog.

"Saya tak kata semua orang menyalahgunakannya, tapi saya rasa peratusan mereka yang terdorong untuk menyalahgunakannya, cukup besar untuk menimbulkan kebimbangan dan masalah."

Kesimpulannya, kata Abdullah Malaysia masih memerlukan undangundang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi sebagai alat untuk mengawal dan menegur.

"Tapi, dalam melaksanakan akta ini, kami perlu bersikap bijak. Ia bukanlah undangundang yang patut disalahgunakan. Kami tak boleh menyalahgunakan undangundang yang ada. Ia sebenarnya bertujuan mencegah berlakunya perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan."

Abdullah berkata beliau berkata kebebasan sepenuhnya memang tidak boleh diterima.

"Kita tak boleh biarkan orang menyebarkan perkara bohong dan memfitnah dengan sesuka hati, seperti yang kadangkala dilakukan oleh media alternatif. Saya cuba minta mereka menilai persekitaran yang ada, secara objektif.

Saya rasa, sekarang, kerajaan lebih terbuka untuk dikritik, berbanding sebelum ini.

"Kita akan ada badan seperti Pemudah, di mana orang boleh mengkritik jentera kerajaan secara langsung dan berterus terang kepada pegawai kanan kerajaan, dan kritikan ini akan diambil tindakan.

Saya percaya, sekiranya rakyat menilai perkara ini secara objektif, mereka akan nampak tentang wujudnya ruang yang begitu luas untuk melahirkan pendapat yang membina."

Abdullah berkata beliau percaya kerajaan perlu tahu cara untuk menangani keterbukaan dan kebebasan ini, yang sebenarnya merupakan satu fenomena global.

"Ini kerana kita boleh mendapat lebih banyak maklumat daripada pelbagi sumber, manakala orang pula belajar untuk berkomunikasi antara satu dengan lain melalui pelbagai cara seperti SMS, YouTube atau Facebook, bukan lagi melalui cara yang sering mereka gunakan sebelum ini. Teknologi baru dalam bidang komuniksi memberi kebebasan kepada kita untuk menyebarkan maklumat dan kebebasan untuk menerimanya," katanya.

Ditanya apakah yang beliau ingin lakukan sebaik saja bersara kelak, beliau berkata pada masa ini, beliau lebih memberi tumpuan untuk membereskan apa yang perlu dilakukan berhubung pembaharuan institusi dan inisiatif ekonomi.

"Selepas itu, saya akan ada lebih banyak masa untuk cucucucu saya dan bermain golf serta memancing.

Abdullah, yang turut ditanya bagaimana beliau ingin dikenang, berkata: "Saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan perkara itu.

Bagi saya, saya amat bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada tanah air saya sejak sekian lama." BERNAMA

Artikel Lain