suria

Anggota Parlimen Kuala Nerus dan Besut umum tanding jawatan MT

KUALA TERENGGANU Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri hari ini menawarkan diri bertanding untuk jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Nasir yang telah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang politik berkata, beliau membuat keputusan itu kerana ingin membantu kepimpinan yang baru nanti untuk perkukuhkan kembali Umno.

"Dengan perubahan pucuk pimpinan nanti, gandingan baru juga diperlukan untuk melaksanakan perubahan-perubahan bagi memperkuatkan kembali parti," katanya kepada media di sini hari ini.

Anggota Parlimen Besut, Datuk Dr. Abdullah Md Zin pula mengumumkan akan mempertahankan jawatan MT Umno yang dipegangnya sekarang dan berharap perwakilan bahagian yang mula bersidang hari ini akan mencalonkannya untuk jawatan itu.

"Pencalonan daripada Umno bahagian amat diharapkan bagi saya terus menyumbang mengukuhkan lagi perjuangan Umno pada masa hadapan," katanya di Besut.

Dr. Abdullah menjelaskan walaupun beliau telah menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Besut tidak bermakna beliau tidak mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk berjuang untuk parti.

"Pengalaman lalu ketika saya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri mungkin membantu dalam usaha kita memperkasakan agama, bangsa dan negara", katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain