suria

Wanita Umno Perak minta hormati peralihan kuasa Rafidah dan Sharizat

KUALA KANGSAR:Semua Wanita Umno bahagian, khususnya di Perak, dinasihati agar menghormati pelan peralihan kuasa yang dipersetujui antara Ketua pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz dan Naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Wanita Umno Perak Datuk Siti Salmah Mat Jusak berkata selain menerima bentuk peralihan kuasa itu secara rasional, anggota Wanita Umno juga sepatutnya menghormati keputusan Shahrizat yang berhasrat untuk hanya mempertahankan jawatan nombor dua dalam pergerakan itu.

"Jadi bagaimana pula boleh timbul nama lain sedangkan tujuan Rafiah hendak buat peralihan adalah untuk mengharmonikan suasana politik khasnya Wanita," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Sauk dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengulas keputusan Wanita Umno Bahagian Beruas semalam yang menamakan Shahrizat sebagai calon Ketua Wanita dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Naib Ketua yang jelas membelakangkan persetujuan pelan peralihan kuasa itu.

Siti Salmah berkata walaupun pihaknya tidak menghalang Wanita Umno bahagian membuat pencalonan yang berbeza atas prinsip demokrasi, namun katanya anggota pergerakan itu sepatutnya memahami dan menghormati keputusan yang dipersetujui pucuk pimpinan.

Siti Salmah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderoh turut melahirkan kebimbangan dan menjangkakan akan ada beberapa lagi Wanita Umno bahagian di Perak yang akan menuruti percaturan Wanita Umno Beruas dengan menamakan gandingan ShahrizatAzalina pada mesyuarat perwakilan yang akan berlangsung hingga awal bulan depan.

Bulan lepas Rafidah mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti Mac tahun depan, dan akan menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya Shahrizat pada bulan Jun manakala Shahrizat pula berkata beliau tidak akan bertanding untuk jawatan ketua walaupun sekiranya beliau menerima cukup pencalonan untuk mencabar Rafidah jawatan itu.BERNAMA

Artikel Lain