suria

UPP Kelantan rampas mercun bernilai RM400000

JELI: Unit Pencegah Penyeludupan Kelantan merampas mercun bernilai RM400,000 selepas menahan sebuah lori di Kampung Jedak dekat Tanah Merah awal pagi ini, kata Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid.

Beliau berkata mercun pelbagai jenis itu dimasukkan ke 220 kotak, dan ia dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran luar Kelantan menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

"Pemandu lori dan pembantunya bagaimanapun sempat melarikan diri dengan terjun dari lori itu," katanya pada persidangan media di UPP Bukit Bunga di sini.

Katanya anggota UPP Kelantan membuat pemantauan ke kawasan berkenaan selepas mendapat maklumat orang ramai mengenai kegiatan tersebut, dan selepas mengesan lori yang dicurigai, mereka terus memintasnya.

"Kami akan serahkan lori dan mercun itu kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Kastam dan Diraja Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.

Mazlan berkata keduadua lelaki itu boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain