suria

Polis tumpaskan sindiket curi cek hampir setengah juta daripada peti pos

IPOH: Polis Perak menumpaskan sindiket pemalsuan cek-cek pos bernilai hampir RM500,000 serta menahan enam orang termasuk seorang wanita dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Boon Bak, Pasir Puteh di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, semasa membuat pemeriksaan, polis menjumpai 228 keping cek pelbagai bank dan daripada jumlah itu, 91 keping telah diubahsuai nama penerima melibatkan jumlah pembayaran RM484,989.97 selain tujuh keping wang Pos Malaysia yang telah diubahsuai nama penerima bernilai RM327.

Turut dirampas ialah 117 keping sampul surat yang dipercayai dicuri dari peti pos, 175 salinan kertas wang masuk, 80 salinan kertas bayaran kad kredit, 28 keping kad ATM pelbagai bank, tiga buku akaun simpanan pelbagai bank dan satu salinan wang kertas Malaysia bernilai RM50 yang telah diimbas serta dua paket plastik lutsinar disyaki dadah syabu, katanya pada persidangan akhbar di sini hari ini.

Polis juga merampas sebotol berisi cecair, beberapa keping kertas pasir, getah pemadam, pita untuk membuat pembetulan, dua kotak pensil warna, kanta pembesar dan beberapa batang pen dipercayai digunakan bagi tujuan pemalsuan cek.

Beliau berkata kegiatan sindiket itu terbongkar apabila anggota polis dari Jabatan Narkotik Perak menyerbu rumah itu pada pukul 9 malam tadi dan menahan dua enam orang itu yang berusia antara 25 dan 45 tahun.

Zulkefli berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah melakukan kegiatan tersebut sejak Januari lalu dengan memecahkan peti-peti surat di sekitar bandar raya ini untuk mencuri cek-cek yang telah diposkan oleh mangsa.

Katanya polis menerima laporan daripada Pejabat Pos Besar Ipoh mengatakan terdapat beberapa peti surat di sekitar bandar raya ini telah dipecahkan dan mendapati banyak cek yang diposkan dalam peti berkenaan didapati hilang.

Polis yang menjalankan siasatan berhubung laporan itu telah menahan lima lelaki berusia 35 hingga 40 tahun pada awal Ogos lepas yang dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut, katanya.

Beliau berkata lima lelaki tersebut termasuk enam yang baru ditahan semalam kini ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Katanya polis juga sedang mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut iaitu Chen Tian atau Alex, 41, beralamat di No. 470 Kampung Baru, Simpang Pulai, Kampung Kepayang; Choong Lai Meng atau Ah Meng, 42, berasal dari No. 55 Persiaran Desa Tambun 3, Tambun, Ipoh dan Lee Jian Hwa atau Ah Wah 34, beralamat di 41 Hala Rapat Baru, 14, Taman Sri Rapat, Ipoh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain