suria

Teresa saman Utusan RM30 juta

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim hari ini memfailkan saman RM30 juta terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan editornya berhubung satu artikel yang didakwanya memfitnah beliau.

Saman itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini menerusi syarikat guaman S.N.Nair & Partner.

Dalam kenyataan tuntutannya, Kok yang juga Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, mendakwa artikel bertajuk "Azan, Jawi, Jais, UiTM dan baalifbaya", yang disiarkan oleh akhbar syarikat itu pada 1 Sept lepas membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, ahli politik yang jahat, bersikap perkauman dan anti-Islam.

Kok, 44, berkata artikel itu disiarkan semula dan diedar di seluruh Malaysia dan dunia menerusi perkhidmatan online Utusan, dan akibatnya, reputasi dan kewibawaan beliau tercemar di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa.

Pada 15 Sept lepas, Kok menuntut supaya akhbar itu menarik balik dan memohon maaf tetapi tidak diendahkan. BERNAMA

Artikel Lain