suria

Anak kapal Bunga Melati 5 cerita detik cemas ditawan lanun

JOHOR BAHARU: "Perasaan cemas menyelubungi diri, nyawa hanya 50-50 sahaja," merupakan reaksi pertama seorang anak kapal Bunga Melati 5 milik syarikat Malaysia International Shipping Corporation (MISC) apabila mengetahui kapalnya ditawan oleh lanun di perairan Teluk Aden.

Rizal Shah Abdul Jabar, 30, yang ditemui di rumah keluarganya di sini hari ini menceritakan detik-detik cemas ketika kapal yang sedang di dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura itu ditawan lanun pada 29 Ogos lepas.

Beliau yang bertugas sebagai "greaser" di bilik enjin kapal itu merupakan salah seorang daripada 41 anak kapal terbabit yang dijadikan tebusan oleh lanun-lanun Somalia yang bersenjatakan rifel Ak47.

Kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina, dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen pada 19 Ogos, dan 10 hari kemudian MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina pula dirampas di perairan yang sama.

Pada 27 Sept lalu, kapal MT Melati 5 dibebaskan selepas MISC membayar sejumlah wang tebusan, dan dua hari kemudian kapal MT Melati Bunga 2 pula dibebaskan.

"Saya pada mulanya tidak tahu bahawa kapal kami ditawan, sehinggalah enjin kapal dihentikan dan diarahkan naik ke anjungan. Di anjungan, semua anak kapal dikumpul sambil diawasi oleh lelaki bersenjata," kata Rizal.

"Pada ketika itulah saya sedar bahawa kapal kami ditawan lanun. Serentak dengan itu, perasaan cemas menyelubungi fikiran, tentang nyawa yang hanya 50-50," katanya.

Beliau yang ditemani oleh kedua-dua ibu bapanya, Fauziah Salleh, 50, dan Abdul Jabar Abdul Hadi, 59, pada sidang media itu berkata untuk menenangkan perasaannya beliau hanya mampu bertawakkal kepada Allah S.W.T.

Walaupun anak-anak kapal diberikan latihan menangani ancaman lanun sebelum ini, namun menurutnya beliau panik ketika berhadapan dengan suasana sebenar apabila kapalnya ditawan oleh lanun bersenjata.

"Mereka mengambil giliran untuk mengawasi kesemua anak kapal selama 24 jam sehari," katanya, sambil menambah anak-anak kapal tidak diapa-apakan secara fizikal oleh lanun-lanun tersebut sepanjang menjadi tebusan.

Rizal yang masih bujang berkata selepas dipindahkan ke bahagian lain kapal mereka dibenarkan memasak makanan sendiri, dengan nasi goreng sering dijadikan menu.

"Walaupun begitu, kami hanya makan secawan nasi goreng setiap hari disebabkan bekalan makanan yang semakin berkurangan dan kami mahu mencatunya kerana tidak tahu bila akan dibebaskan," katanya.

Selepas hampir sebulan menjadi tebusan, Rizal berkata anak-anak kapal sedar mereka sudah bebas pada pagi 28 September apabila anggota-anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mula mengambil alih kawalan kapal Bunga Melati 5.

"Pada ketika itu saya tidak melihat lagi kelibat lanun-lanun yang menjadikan kami tebusan," katanya sambil menambah, beliau akan tetap meneruskan kerjaya sebagai anak kapal MISC.

Bagi kedua-dua ibu bapa Rizal, mereka menghormati keputusan anak mereka menjadikan bidang pelayaran sebagai karier, walaupun berhadapan dengan risiko kejadian di Teluk Aden itu berulang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain