suria

94 ketua bahagian Umno jadi rebutan

KUALA LUMPUR: Biarpun Perhimpunan Agung Umno ditunda dari Disember ini ke Mac tahun depan, bahangnya tetap terasa menjelang persidangan perwakilan bahagian yang bermula Khamis ini lebihlebih lagi kerana urusan pemilihan menjadi agenda utamanya.

Perkembangan ini bukan sahaja menarik minat 3.3 juta anggota Umno, malah dalam tempoh sebulan yang ditetapkan bagi bahagian mengadakan mesyuarat masing-masing, rakyat keseluruhan akan turut mengikuti pertandingan jawatan ketua di 94 bahagian daripada keseluruhan 191 bahaguan Umno di seluruh negara.

Paling menarik minat semua pihak tentulah pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan nainnaib presiden Umno, yang akan diputuskan pada persidangan perwakilan bahagian.

Ini kerana sistem kuota yang digunakan dalam pemilihan untuk jawatanjawatan tertinggi dalam parti itu mensyaratkan bahawa seseorang anggota hanya layak bertanding jawatan presiden jika mendapat sekurang-kurangnya 58 pencalonan, bagi jawatan timbalan presiden sekurang-kurangnya 38 pencalonan dan bagi jawatan naib presiden sekurang-kurangnya 19 pencalonan.

Daripada mesyuarat agung tahunan lebih 20,000 cawangan Umno dari 17 Julai hingga 14 Sept lepas, 97 Ketua Umno Bahagian tidak akan dicabar.

Dalam urusan pemilihan bagi jawatan ketua bahagian di Wilayah Persekutuan kali ini, tujuh bahagian bakal menyaksikan saingan sengit di Segambut, Wangsa Maju, Batu, Seputeh, Lembah Pantai, Labuan dan Bandar Tun Razak.

Enam lagi bahagian di Wilayah Persekutuan menyaksikan ketua bahagiannya tidak dicabar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al Habshee, Ketua Umno Bahagian Kepong Senator Datuk Ridhuan Hamid, Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Di Pulau Pinang pula, sembilan bahagian bakal menyaksikan pertandingan iaitu di Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibong Tebal, Tanjong, Bayan Baru dan Balik Pulau.

Hanya empat daripada 13 ketua Umno bahagian Pulau Pinang termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah ahmad Badawi menang tanpa bertanding setelah semua cawangan selesai mengadakan mesyuarat masingmasing.

Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang tidak dicabar di Kepala Batas selain Datuk Musa Sheikh Fadzir (Bukit Mertajam); Senator Datuk Omar Faudzar (Bukit Gelugor) dan Ketua Penaja Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman.

Di Selangor, 10 daripada 22 ketua bahagian Umno Selangor menang tanpa bertanding.

Mereka ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib selaku Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya; Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Abdul Rahman Palil (Kapar), bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (Sungai Besar); Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar (Tanjung Karang) dan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed (Sepang).

Lima lagi yang menang tanpa bertanding ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Datuk Nawawi M. Zin di Shah Alam; Datuk Mohamad Satim Diman (Serdang); Kapt (B) Datuk Zahar Hashim (Petaling Jaya Selatan); Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Selangor) dan Datuk Amiruddin Setro (Kuala Selangor).

Di Perak, 11 ketua daripada 24 ketua bahagian menang tanpa bertanding.

Mereka termasuk dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Bahagian Padang Rengas) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datoh) , Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Tambun) dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (Gerik).

Turut menang tanpa bertanding ialah Datuk Samsuddin Abu Hassan, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Datuk Abdul Raman Suliman, Datuk Azian Osman, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Yusof Kassim masingmasing mengekalkan jawatan bagi bahagian Tapah, Tanjung Malim, Parit Buntar, Ipoh Timur, Pasir Salak dan Batu Gajah.

Bahagian Lumut pula menyaksikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengekalkan jawatan ketua bahagian itu selepas memperoleh 38 pencalonan manakala pencabarnya Datuk Mohd Wajidi Mohd Ishak hanya mendapat lima pencalonan, dan gagal melepasi kuota pencalonan untuk bertanding.

Sebanyak lapan bahagian Umno di Perak yang bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu ialah Bagan Serai, Sungai Siput, Taiping, Ipoh Barat, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Parit dan Beruas manakala Bahagian Gopeng dan Larut akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Di Terengganu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said (Kemaman), bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh (Besut) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu) adalah antara tiga Ketua Umno Bahagian di Terengganu, mengekalkan jawatan masing-masing tanpa ditandingi.

Pertandingan satu lawan satu bagi merebut jawatan ketua bahagian akan berlaku di Marang manakala Setiu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Menjelang Perhimpunan Agung kali ini yang akan melibatkan pemilihan pucuk pimpinan parti, budaya politik wang paling dikhuatiri berleluasa, dan oleh itu Umno telah memutuskan untuk bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah bagi memastikan tiada elemen rasuah wujud.

Yang lebih penting ialah semua pihak berharap cogan kata Umno 'Bersatu Bersetia Berkhidmat' akan menjadi teras kepada setiap anggotanya untuk meletakkan kepentingan parti melebihi segalagalanya sepanjang berlangsungnya persidangan perwakilan bahagian dan perhimpunan agung parti nanti. BERNAMA

Artikel Lain