suria

10 lelaki bersenjata parang rompak empat mangsa dalam tempoh setengah jam

ALOR STAR: Sepuluh orang lelaki bersenjata parang merompak pemilik sebuah kedai akuarium dan tiga mangsa yang lain termasuk dua wanita di Alor Janggus dekat sini dalam tempoh setengah jam petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Star, ACP Abdul Ghafar Rejab berkata kumpulan itu yang menaiki dua kereta Mercedez Benz, sebuah Honda CRV dan sebuah lagi dipercayai jenis Proton melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit bernilai kira-kira RM9,000 daripada kesemua mangsa.

"Sebaik meletak kenderaan mereka di hadapan kedai, kumpulan penyamun itu yang sebahagian daripada mereka menutup muka dengan sapu tangan terus mengugut pemilik kedai akuarium itu menggunakan parang dan terus beredar tanpa mencederakan mereka selepas merampas wang tunai RM4,000 dan telefon bimbit, kesemuanya bernilai RM5,000, daripada mangsa pada kira-kira pukul 4.50 petang," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Abdul Ghafar berkata ketika kejadian, pemilik kedai dikenali sebagai Lim berusia 44 tahun dan adiknya 42 tahun sedang melayan seorang pelanggan.

Katanya semasa keluar, mereka sempat merompak seorang lelaki yang berdiri di luar kedai akuarium itu sejumlah wang tunai sebelum melarikan diri.

Setengah jam kemudian mereka menceroboh sebuah rumah tidak jauh dari kedai itu dan merompak barang kemas serta telefon bimbit, kesemua bernilai RM3,600 daripada seorang wanita berusia 34 tahun dan seorang warga emas yang berada dalam rumah itu, katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur antara 20 hingga 30 tahun.

Abdul Ghafar meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil memberi keterangan bagi membantu polis atau menelefon 04-7321222. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain