suria

Garis panduan pekerja separuh masa akan diwujudkan Subramaniam

KLANG: Satu garis panduan berhubung pekerja separuh masa dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi dan kakitangan sektor awam akan diwujudkan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata garis panduan yang sedang digubal oleh Jabatan Tenaga Kerja itu adalah bagi membolehkan majikan dan pekerja mengetahui hak dan tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata antara perkara yang dimasukkan dalam garis panduan itu ialah mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan takrifan pekerja separuh masa yang layak mendapat faedah KWSP dan perlindungan Perkeso.

"Garis panduan itu akan memudahkan majikan menguruskan perkara berkaitan kerana ada pekerja separuh masa yang bekerja selama sejam atau dua jam sahaja dengan seseorang majikan dan ada yang datang bekerja untuk satu jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Etika Kerja anjuran Kementerian Sumber Manusia dan MIC Bahagian Kapar di sini hari ini.

Ditanya mengenai permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya majikan memberikan elaun sara hidup sebanyak RM300 untuk setiap pekerja, Subramaniam berkata kementerian telah dimaklumkan oleh MTUC mengenai cadangan itu. BERNAMA

Artikel Lain