suria

Anak kapal Melati 2 5 ditawan lanun pulang ke tanah air

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Seramai 80 anak kapal Malaysian International Shipping Corporation Bhd (MISC) yang ditawan lanun di perairan Somalia selamat kembali ke tanah air sebentar tadi.

Mereka merupakan anak kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 yang dibebaskan minggu lalu, menjelang Aidilfitri.

Kesemua anak kapal berkenaan tiba dengan pesawat yang disewa khas dan tiba di sini pukul 4 pagi tadi.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan pembebasan kedua-dua kapal tangki kepunyaan MISC yang ditawan lanun di perairan Somalia sebagai hadiah Aidilfitri.

Kedua-dua kapal MISC itu ditawan oleh lanun di Teluk Aden lebih 40 hari.

Kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal iaitu 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina, dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen pada 19 Ogos.

Seorang anak kapal warga Filipina itu terbunuh akibat terkena sebutir peluru yang tersasar.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Kerajaan kemudiannya menghantar dua buah kapal perang, KD Lekiu dan KD Inderapura dan sebuah kapal peronda pesisir pantai, KD Pahang, untuk melindungi kapal-kapal MISC yang melalui perairan itu ekoran kejadian rampasan MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5.

Sebaik tiba mereka dibawa ke sebuah hotal di Subang Jaya untuk menemui anggota keluarga berkenaan.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Korporat MISC, Fiona Clare Pereira berkata, kesemua anak kapal tersebut berada dalam keadaan selamat dan kini ditempatkan buat sementara di Hotel Sheraton, Subang bersama anggota keluarga mereka.

Semua butiran mengenai pembebasan dan penghantaran pulang kesemua anak kapal itu ke tanah air akan diperincikan dalam satu sidang akhbar yang akan diadakan di Ibu pejabat MISC di Menara Dayabumi di sini petang ini.

Artikel Lain