suria

Banjir di Thailand tiga minggu lepas ragut 24 nyawa

BANGKOK: Bencana banjir yang melanda beberapa wilayah di Thailand sejak tiga minggu lepas sehingga ini mengorbankan 24 nyawa di samping menyebabkan lebih 212,000 penduduk lagi mengalami masalah kesihatan yang diakibatkan oleh musibah itu.

Dalam perkembangan terkini Kementerian Kesihatan Awam berkata antara masalah kesihatan yang dialami penduduk termasuk ruam, selesema, masalah kulit, sakit kaki dan sakit perut.

Kementerian itu berkata kebanyakan mereka menerima rawatan di 1,055 pusat perkhidmatannya yang diwujudkan di seluruh negara.

Hujan lebat sejak tiga minggu lepas mengakibatkan beberapa wilayah di utara dan timur laut negara dilanda banjir, dengan yang paling teruk membabitkan kawasan sekitar Phitsanulok, Lopburi, Pranakornsriayuthya, Khonkaen dan Prajeenburi.

Jabatan Meteorologi sebelum ini memberi amaran kepada penduduk di sembilan wilayah, terutama yang tinggal berhampiran dengan sungai dan kaki bukit, supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap kemungkinan dilanda banjir kilat, hujan lebat, serta tanah runtuh.

Hujan lebat dan ribut petir di ibu kota pagi ini pula mengakibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan rendah, sekaligus menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas menjadi bertambah buruk.

Minggu lepas Kementerian Pedalaman berkata 24 daripada 76 wilayah di Thailand dilanda banjir sejak beberapa minggu lepas, mengakibatkan kerosakan yang dianggarkan Bt115 juta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain