suria

Dr Shaharom Husain meninggal dunia

JOHOR BHARU: Tokoh guru, sejarahwan dan budayawan, Dr. Shaharom Husain, 88, telah meninggal dunia di rumah anak sulungnya di Gombak, Selangor pagi hari ini.

"Arwah ayah meninggal dunia dalam tidur pada pukul 7.45 pagi selepas menunaikan solat subuh," kata anak sulungnya itu Dr. Mohammed Hatta, 56, Naib Presiden Kanan dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyber Jaya ketika dihubungi.

Jenazah Shaharom dibawa ke sini dan dikebumikan bersebelahan dengan arwah isterinya, Aminah Abdul Rashid, di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di sini selepas Asar.

Selain Mohammed Hatta, arwah meninggalkan tiga anak Dr. Mustapha Kamal, 55, Mohammad Iqbal, 50 dan Mustapha Kamil,49 serta 23 cucu dan enam cicit.

Pada minggu lalu arwah telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana patah tulang punggung dan menjalani pembedahan.

Shaharom yang menulis semula buku Tawarikh Johor (1950) dan menghasilkan buku Sejarah Johor dan Kaitannya Dengan Negeri-negeri Lain (1995) banyak berzikir dua tiga hari lepas sebelum meninggal dunia.

Beliau yang dilahirkan pada 4 November 1919 di Kampung Peserai, Mukim Tiga, Batu Pahat, Johor pernah mendapat anugerah Tokoh Guru Johor, Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Budayawan Johor, Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan (UKM) dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (UPSI).

Beliau pernah menuntut di MPSI (1938-1940) (sekarang UPSI) dan mengajar di MPSI dari tahun 1946-1951 dan Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Baharu (1952-1974).

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba dan tokoh pendidikan Tan Sri Prof Dr Awang Had Salleh pernah menjadi pelajarnya di MPSI.

Karya beliau terdiri daripada pelbagai genre seperti drama pentas, novel, memoir, puisi, cerpen, buku dan kajian seperti Korban Sungai Muar atau Lelehan Darah di Pantai Bentan (1948), Tun Fatimah (1948), Bermandi Darah Di Sungai Johor atau Riwayat Hidup Hang Nadim Hulubalang Melayu (1949, Biografi Perjuangan Politik Datuk Onn Jaafar (1985) dan drama Si Bongkok Tanjung Puteri.

Ketokohan Dr Shaharom diakui di peringkat antarabangsa kerana namanya tercatat dalam "Dictionary of International Biography" yang mengandungi keterangan 2,000 tokoh yang berjaya dalam bidang penulisan, pendidikan dan kegiatan lain; serta dalam "The Thousand Man of Achievement" pada 1969 dan menerima Certificate of Merit pada tahun yang sama. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain