suria

Aidilfitri disambut dalam kesederhanaan

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara meraikan Aidilfitri tahun ini dalam suasana sederhana mengambil kira kos sara hidup yang telah meningkat, khasnya ekoran kenaikan harga minyak dunia sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun ini tidak melunturkan keceriaan sambutan dengan umat Islam memulakan sambutan Hari Lebaran selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara.

Suasana perayaan seterusnya dimeriahkan dengan majlis-majlis Rumah Terbuka yang mengeratkan lagi silaturahim bukan sahaja di kalangan ummah tetapi juga dalam masyarakat majmuk negara ini.

Selesai solat, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kemudiannya beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Selepas itu menteri-menteri Kabinet, diplomat asing serta orang-orang kenamaan lain menghadiri majlis rumah terbuka yang diadakan oleh Tuanku Mizan di Istana Negara.

Di Masjid Negara, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pagi ini menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 5,000 jemaah.

Baginda diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet serta para duta dan diplomat asing yang beragama Islam.

Di KANGAR, cuaca redup dan sesekali hujan tidak memudarkan tradisi kunjung-mengunjung bagi mengeratkan silatulrahim sesama umat Islam di Perlis.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid pula berangkat menyertai rakyat jelata menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Negeri, Arau.

Turut menyertai baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Baginda berdua kemudiannya berkenan menerima mengadap dif-dif kehormat dan ribuan rakyat jelata pada majlis istana terbuka di Istana Arau bermula pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Di KUALA KANGSAR, Sultan Perak Sultan Azlan Shah menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan.

Hadir sama ialah Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah, Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan anggota exco kerajaan negeri.

Mohammad Nizar dan pembesar negeri yang lain kemudiannya menghadiri jamuan Hari Raya bersama baginda di Istana Iskandariah.

Rumah terbuka Mohammad Nizar diadakan di kediaman rasminya di Jalan Sultan Idris di Ipoh mulai pukul 2 petang ini.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bersama kirakira 3,000 orang jemaah menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.

Turut menunaikan solat sunat bersama baginda ialah Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta beberapa pemimpin negeri.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengadakan rumah terbuka dari pukul 10 pagi hingga 3 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.

Di KUCHING, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 umat Islam di Masjid Jamek Petra Jaya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Awang Asfia Awang Nasar dan anggotaanggota Kabinet negeri.

Selepas bersembahyang, Abang Muhammad Salahuddin dan isterinya Toh Puan Norkiah Abdullah mengadakan rumah terbuka di Astana Negeri, Petra Jaya, manakala Taib serta keluarganya menerima tetamu dan pengunjung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Di PULAU PINANG pula, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Selepas solat sunat Aidilfitri umat Islam meneruskan tradisi kunjung-mengunjung.

DI KOTA BAHARU, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis Abdul Hamid menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi pada pukul 8.30 pagi.

Baginda berdua kemudian menerima mengadap rakyat jelata di Istana Balai besar pada kira-kira pukul 9.30 pagi dan menziarahi makam diraja Langgar pada pukul 10 pagi.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Pulau Melaka selepas solat sunat Aidilfitri.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyertai kirakira 10,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid AlAzim di Bukit Palah.

Mohd Khalil mengadakan rumah terbuka di Istana Melaka, Bukit Beruang dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Rumah terbuka Mohd Ali di kediaman rasminya di Seri Bendahara, Ayer Keroh berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Di KUALA TERENGGANU, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud bersama kirakira 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya di Masjid Abidin.

Turut menunaikan solat raya di masjid berkenaan ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud serta beberapa pemimpin negeri.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah menyertai 4,000 orang rakyat jelata dalam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Beliau dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar, mengadakan rumah terbuka di Istana Negeri dari pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi bagi menteri0menteri Kabinet negeri serta penolong menteri, 10.30 pagi hingga 11 pagi bagi orangorang kenamaan dan 11 pagi hingga 1 petang bagi orang ramai.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengadakan rumah terbuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas.

Sementara itu di JOHOR BAHARU, kira-kira 2,000 orang umat Islam menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri bersama Tunku Mahkota Tunku Ibrahim Ismail di Masjid Sultan Abu Bakar.

Turut hadir ialah Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, barisan exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, Mufti Negeri Datuk Mohd Nooh Gadot serta bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Di SERI MENANTI, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar dan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir. Turut serta ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Baginda berdua kemudian ke majlis tahlil sebelum menziarahi Makam Diraja berhampiranm masjid itu.

Seterusnya baginda berdua perkenan bersama rakyat jelata pada majlis istana terbuka di Istana Besar Seri Menanti.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan rumah terbuka di pekarangan Dewan Undangan Negeri, Seremban, dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Kira-kira 10,000 orang daripada pelbagai kaum hadir pada majlis itu.

Di ALOR STAR, dalam cuaca mendung dan sesekali hujan renyai Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam dan Tuanku Sultanah serta Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Zahir.

Selepas solat, orang ramai mengambil peluang untuk bersalaman dengan Baginda Tuanku dan juga Menteri Besar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain