suria

Habuan seks Jabatan Agama Islam mahu siasat semua pihak

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak akan menyiasat semua pihak, termasuk wanita warga China dan lelaki bernama Mohamad Imran Abdullah, yang dikaitkan dalam pengakuan Ahli Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Zul Hassan bahawa beliau disogokkan dengan habuan seks yang disifatkannya "menerima kerana sedekah."

Pengarahnya, Datuk Jamry Sury berkata, sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk menyiasat isu berkenaan.

Siasatan itu bersangkut paut dengan laporan dibuat Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail terhadap Mohamad Imran awal minggu lalu.

"Kami akan menyiasat perbuatan mengadakan hubungan seks, penglibatan wanita China berkenaan dan Mohamad Imran yang didakwa sebagai orang yang menawarkan wanita berkenaan," kata Jamry di sini.

Kata beliau, jawatankuasa berkenaan akan meneliti peruntukan di bawah enakmen-enakmen Syariah bagi membolehkan jabatannya mengambil tindakan susulan.

Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail baru-baru ini membuat laporan di Jabatan Agam Islam Perak terhadap Mohammad Imran yang didakwa mendorong mereka melakukan perbuatan berdosa itu melibatkan seorang wanita dari China di sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

Zul membuat kenyataan mengaku ada menerima habuan khidmat seks, tetapi disifatkannya sebagai "sedekah" telah diarah supaya melepaskan kedudukannya dalam majlis tersebut.

Mohamad Imran merupakan pengadu dalam kes rasuah Zul dan empat yang lain.

Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam, Zul dilaporkan mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa "seks seperti menerima sedekah" dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Jamry sendiri akan mengetuai jawatankuasa berkenaan, yang akan mengadakan pertemuan selepas cuti sambutan Aidilfitri yang bermula hari ini.

Zul telah pun diarah supaya melepaskan jawatan dalam MDPT oleh Menteri Besar Perak Ahad lalu.

Jelas Jamry, pihaknya akan mengumpulkan maklumat dan bukti daripada pelbagai sumber bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Kami mahu mengendaikan siasatan dengan betul dan secara sistematik agar jabatan ini tidak berhadapan dengan masalah kelak," katanya.

Kata beliau, jabatan itu kini hanya mempunyai maklumat berdsarlam pangkuan bahawa terlibat dalam perbuatan tidak senonoh itu.

BERITA TERDAHULU:

PETALING JAYA: Ahli Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Zul Hassan akan dipecat jika enggan meletakkan jawatannya dalam majlis kerajaan tempatan tersebut dengan segera, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Jika beliau masih tidak meletakkan jawatannya, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memecat beliau," katanya ketika dihubungi mStar Online petang ini.

Jelasnya, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan tersebut Jumaat lalu agar Zul berbuat demikian ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang tarikh akhir kepada Zul untuk berbuat demikian.

"Kita tak beri tarikh kepadanya, tapi dia perlu hormati keputusan yang telah kerajaan negeri tetapkan," katanya.

Tambahnya lagi, hingga kini beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perletakkan jawatan Zul.

Bagaimanapun Nizar berharap agar Zul dapat mematuhi arahan tersebut iaitu melepaskan jawatannya dengan kadar segera.

Sementara itu Yang Dipertua MDPT, Hasim Hasan berkata, sehingga sekarang beliau tidak menerima sebarang maklumat terkini berhubung status Zul sebagai ahli majlis tersebut.

"Saya masih belum tahu perkembangan terkini sama ada Zul ada menghantar surat peletakkan jawatan ataupun tidak kerana saya mula bercuti untuk sambutan Aidilfitri mulai hari ini," katanya yang hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media semalam.

Ditanya mengenai pengisian kekosongan jawatan ahli MDPT apabila Zul meletakkan jawatan nanti, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar.

"Pegawai Daerah tak ada kuasa melantik ahli majlis, semuanya terletak pada kerajaan negeri," katanya.

Di Ipoh, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam, Nga Kor Ming berkata, Zul telah meletakkan jawatan.

Kata beliau, di bawah Akta Kerajaan Tempatan pelantikan dan penamatan perkhidmatan seseorang ahli majlis tertakluk kepada budi bicara kerajaan negeri.

"Jika kami meminta supaya meletakkan jawatan, mesejnya ada jelas," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain