suria

Adnan bimbang keghairahan rebut jawatan tertinggi bawa kesan tidak sihat

KUANTAN:Keghairahan merebut jawatan tertinggi parti di kalangan anggota Umno pada pemilihan parti Mac depan dikhuatiri akan membawa kepada satu perkembangan yang tidak sihat, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata fenomena menawarkan diri bagi merebut jawatan tertinggi sejak kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah Umno adalah satu tempat untuk memperjuangkan kepentingan diri masing-masing.

"Bagi saya ini satu trend yang tidak begitu sihat...seolaholah kita begitu menggelabah untuk mengejar kedudukan tanpa memikirkan kesan pada parti.

"Kita harus ingat bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia termasuk pengundi bukan ahli Umno dan ini bermakna sokongan mereka yang bukan ahli Umno tidak kurang pentingnya," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung tindakan beberapa pemimpin Umno menawar diri untuk jawatan tertinggi parti pada pemilihan Mac depan.

Beliau berkata jika haluan itu berterusan, ia dikhuatiri akan menyebabkan rakyat meluat dengan Umno yang seterusnya dizahirkan pada Pilihan Raya Umum ke13 akan datang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anggota Umno di setiap peringkat supaya tidak terlalu ghairah dalam mengejar kedudukan sebaliknya berusaha memperkukuhkan parti.

Beliau berkata anggota Umno sepatutnya menunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum menawar diri bertanding manamana jawatan.

"Ini ibarat mak ayah ada lagi, dah nak berebut harta," katanya.

Adnan juga berkata walaupun parti mengamalkan dasar demokrasi, setiap anggota perlu melihat kesesuaian diri sebelum menawar diri bertanding.

Mengenai sokongan Umno Pahang terhadap calon Timbalan Presiden dan Naib Presiden, Adnan berkata ia terserah kepada peringkat Bahagian masing-masing.

"Kita belum buat pendirian lagi, kalau ada orang anggap kita lalang, kita pagar, cakaplah...Umno Pahang tidak membuat apaapa pendirian setakat ini, kita hanya memerhati perkembangan dan kita rasa risau perkembangan yang ada kerana ia akan menjejaskan parti..itu sahaja," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga tidak akan menyekat sebarang keputusan di peringkat Bahagian.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain