suria

Shahrir Calon tanding jawatan tertinggi Umno perlu sanggup bawa perubahan pada parti

JOHOR BAHRU:Calon-calon yang menawarkan diri merebut jawatan tertinggi Umno pada pemilihan Mac tahun depan perlu sanggup membawa perubahan kepada parti, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Baharu itu berkata beliau ingin sekali melihat manifesto yang dibawa oleh calon yang bertanding, terutama merujuk kepada sumbangan yang akan dilakukan kepada Umno.

"Saya mahu tunggu dan dengar manifesto mereka yang bertanding Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Kalau tawarkan diri bertanding ke jawatan tertinggi, maknanya yang ditawarkan ialah sumbangan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan kilang zip YKK (Malaysia) Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Beliau berkata calon yang bertanding perlu mempunyai asas perjuangan demi meyakinkan akar umbi bahawa mereka mampu membawa perubahan.

"Perubahan pada parti tidak akan berlaku jika calon yang bertanding tidak sanggup berkorban demi perubahan. Ini kerana keadaan politik negara membayangkan Umno kena berubah.

"Jadi tentunya pucuk kepimpinan Umno yang menawarkan diri itu perlu memberi gambaran dan janji untuk mengubah atau menyesuaikan Umno dengan keadaan yang sudah berubah," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain