suria

Wanita kagum cara bijak rakan pulangkan kad bank tercicir, siap dapat habuan - "Kerugian hanya sebatang lollipop"

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk memulangkan kad bank tercicir. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita berkongsi kisah mengenai cara unik rakannya memulangkan kad bank individu tak dikenali yang tercicir.

"Kawan aku pernah jumpa kad bank yang tertinggal di mesin ATM (mesin pengeluaran automatik).

"Dia kemudian swipe (kad bank) dekat sebuah kedai serbaneka berhampiran mesin ATM tu untuk beli sebatang lollipop," ujarnya di Thread.

Kad bank merupakan barang berharga setiap individu. -Gambar hiasan AI

Kad bank antara barang berharga milik setiap individu. -Gambar hiasan AI

Menurut wanita ini, bagi memudahkan urusan pengembalian kad yang ditemui pada waktu malam itu, rakannya meninggalkan nombor telefon di kaunter kedai tersebut.

Malah, rakannya turut menulis nama dan alamat penuh pada kertas berkenaan.

"Dia beli lollipop sebatang dan pesan pada juruwang tu kalau ada orang cari kad bagi kertas ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Konon kad bank rosak, cubaan lelaki pinjam RM50 daripada awek di aplikasi cari jodoh gagal... Wanita belajar dari pengalaman silam

ARTIKEL BERKAITAN: Duit, kad kredit hilang ketika bercuti di Jepun! Puas fikir, geng anak muda Malaysia dapat agak angkara siapa

"Dia tulis nama penuh, nombor telefon dan alamat pada kertas tu," tambahnya lagi sambil memaklumkan bahawa usaha tersebut sememangnya membuahkan hasil.

Kongsi wanita ini lagi, seperti diharapkan, rakannya kemudian dihubungi pemilik kad berkenaan yang merupakan seorang wanita berbangsa India.

Laporan polis berhubung kehilangan kad bank juga telah ditarik balik.

  • Wanita kongsi cara unik kawan pulangkan kad bank yang ditemui di ATM.
  • Kawan beli lollipop guna kad itu dan tinggalkan maklumat peribadi dirinya di kaunter.
  • Tulis nama penuh, nombor telefon dan alamat untuk dihubungi.
  • Pemilik kad berjaya dihubungi, laporan polis ditarik balik.
  • Netizen puji kebijaksanaan, ada cadang hantar terus ke bank.

"Report dah buat tapi dia tarik balik sebab kerugian hanya sebatang lollipop.

"Mak kepada pemilik kad bank tu siap bagi hadiah pada kawan aku," ujarnya sambil memaklumkan 'kejayaan' membantu orang lain itu menjadi kenangan manis buat rakannya.

Bercerita lanjut, dia menyatakan bahawa kad tersebut mengambil masa selama tiga hari untuk diserahkan kepada pemilik asal.

Antara reaksi warga maya.

Antara reaksi warga maya.

Jelasnya, sedikit masa diperlukan untuk pemilik kad melakukan beberapa prosedur bagi mendapatkan maklumat lokasi kedai serbaneka berkenaan sebelum akhirnya berjaya menghubungi rakannya.

Perkongsiannya itu mengundang pelbagai reaksi warga maya dengan ramai mengakui kaedah tersebut mampu membantu seseorang yang berniat memulangkan semula kad bank milik orang lain yang tercicir.

"Dia bijak, tapi kalau dia hantar ke cawangan bank lagi bijak sebab memudahkan kerja pemilik kad tu.

"Saya dan pengurus jumpa kad bank pelanggan, terus swipe dengan transaksi 10 sen. Esoknya dia datang sebab ada transaksi dekat outlet dan puji kitaorang sebab bantu dia tahu di mana kad bank tercicir, dapat saguhati RM100.

"Cara baru cari tuan kad yang hilang," demikian antara reaksi netizen.

Artikel Lain