suria

Raja Petra masih bersemangat dengan sokongan penyokong Marina

PETALING JAYA: Marina Lee Abdullah yang menemui suaminya, Raja Petra Raja Kamarudin buat hari kedua pagi ini di Kem Tahanan Kamunting menyifatkan pengendali blog Malaysia Today itu masih bersemangat meskipun semakin berat badannya susut.

"Dia sudah kurus sekarang, memang jelas... saya tidak pasti, tidak tahu berapa kilogram berat badannya sudah susut," kata beliau ketika dihubungi.

Kata Marina, dia bersemangat apabila dimaklumkan bahawa kira-kira 250 penyokongnya berkumpul di luar pusat tahanan itu pagi ini sambil menyanyikan lagu dan mengucapkan Selamat Aidilfitri.

Seperti semalam, Marina menemui Raja Petra yang ditahan di pusat itu sejak 23 September lalu, pagi ini.

Lawatan susulan dijadulkan Sabtu ini.

Semalam Marina berkata, Raja Petra berada dalam keadaan "normal".

Pertemuan berlangsung kira-kira 45 minit.

Marina menambah, seperti semalam mereka hanya berpeluang berbual-bual di bilik kecil, bukannya di halaman pusat tahanan tersebut.

"Kami hanya jumpa di bilik kecil seperti semalam," katanya.

Kelmarin, Raja Petra memfailkan habeas corpus buat kali kedua di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Marina berkata, habeas corpus kali ini difailkan berhubung penahanan Raja Petra di bawah Seksyen 8(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Seksyen itu membolehkan beliau ditahan di Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun.

Pada 22 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah menandatangani perintah menahan Raja Petra mengikut Seksyen 8(1) ISA.

Habeas corpus sebelum itu difailkan mengikut Seksyen 73(1) ISA.

Raja Petra ditahan pada 12 Septemner lepas. Pada hari yang sama Ahli Parlimen DAP Seputeh, Terasa Kok, dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, turut diberkas mengikut ISA tetapi kedua-duanya telah pun dibebaskan.

Marina berkata, Raja Petra masih berharap dan yakin bahawa ISA dimansuhkan dan dibebaskan.

Artikel Berikut

Artikel Lain