suria

Tindakan Umno gantung 3 tahun keterlaluan - Mohd. Zain

KOTA BAHARU: Bekas Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail menganggap keputusan Lembaga Disiplin parti untuk menggantungnya sebagai keterlaluan.

"Saya rasakan keputusan Lembaga Disiplin sebagai keterlaluan," kata beliau kepada pemberita selepas tiba dari ibu negara di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra semalam.

Mohd Zain berkata, bagaimanapun pihaknya akan menghantar surat rayuan kepada Majlis Tertinggi Umno termasuk kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Beliau merupakan antara 10 dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin minggu lalu dan diumumkan di Kuala Lumpur semalam.

Selain Mohd Zin, mereka yang turut digantung bagi Umno Kelantan adalah bekas Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ismail Hassan; bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Ghazali Ismail; bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang, Fauzi Omar dan bekas Ketua Wanita Umno Rantau Panjang, Fauziah Che Wok.

Pada sidang media yang sama, Ghazali berkata, beliau kesal kerana sebelum surat rasmi keputusan penggantungan mereka sampai, telah banyak Khidmat Pesanan Ringkas diedarkan kepada anggota parti mengenai penggantungan mereka.

Menurut Ibu Pejabat Umno semalam, Lembaga Disiplin Umno memutuskan seramai 10 ahli parti itu bersalah kerana terbabit dengan rasuah politik dan sabotaj parti.

Seorang daripada yang tertuduh diberi amaran manakala sembilan anggota lain dikenakan hukuman digantung keanggotaan selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan bermula 22 September lalu.

Tertuduh yang terbabit terdiri daripada ahli Umno Bahagian Kota Tinggi, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Senarai ahli diputuskan hukuman

A. Malek Daing A. Rahaman (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2, 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)

Mohamadon Abu Bakar (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)

Musa Ngaman (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)

Muszaide Makmor (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)

Mohammad Taha Madon (Kota Tinggi) - Perkara 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)

Datuk Mohd Zain Ismail (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno

Ghazali Ismail (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno

Fauzi Omar (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno

Pauziah Che Wook (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno

Datuk Ismail Hassan (Tanah Merah) - Perkara 5.1.2 & 5.5, dan Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno

A. Malek merupakan individu yang mencabar Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi.

Kecuali Mohammad Taha, tertuduh yang lain dikenakan hukuman digantung keahlian selama tiga tahun.

Kes sabotaj parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno dan rasuah politik pula diputuskan mengikut Perkara 5 Tataetika Ahli Umno.

Ahmad Rithauddeen berkata, keputusan itu adalah hasil daripada persidangan Lembaga Disiplin pada 22 hingga 24 September lalu.

Tahun 2008 merupakan tahun pemilihan parti.

Cawangan-cawangan Umno telah mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan Julai hingga Ogos manakala persidangan perwakilan bahagian akan bermula 9 Oktober ini.

Berdasarkan siasatan atau pendengaran pertuduhan, statistik aduan yang diterima secara keseluruhannya adalah sebanyak 475.

Berikut adalah butiran statistik aduan diterima dan diambil tindakan

Jumlah keseluruhan aduan: (475)

Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan): 115

Jumlah aduan belum dimulakan siasatan: (49)

Jumlah aduan perlu dokumen tambahan (Borang A): (38)

Jumlah aduan kategori tiada tindakan lanjut (NFA): (85)

Jumlah aduan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin: (74)

Jumlah aduan baru: (110)

Disimpan untuk perhatian: (4)

Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan) dan didapati tiada kes prima facie: (22)

Jumlah kes telah didengar (tribunal Lembaga Disiplin): (10)

Artikel Berikut

Aidilfitri disambut Rabu ini

Artikel Lain