suria

Tangguh AGM Umno tidak bercangga perlembagaan parti

KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Umno dari Disember ini ke Mac depan tidak bercanggah dengan perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, beliau berkata, penangguhan itu yang dibuat pada mesyuarat khas MT 25 September lalu adalah berdasarkan kepada kuasa kuasa yang diberikan oleh perlembagaan kepada MT di bawah Fasal 10.17.

Fasal tersebut memberi MT hak untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian serta cawangan dan penangguhan tersebut tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

Perkara yang dipertikaikan ialah terhadap keputusan sebelum ini yang telah menangguhkan 18 bulan persidangan kesemua pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian termasuk Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan pada Disember 2008 dan ditangguhkan lagi pada Mac 2009, katanya.

Tengku Adnan berkata, kesemua pemegang jawatan di peringkat Umno Cawangan dan Bahagian telah dipilih dalam persidangan antara bulan Jun dan Julai 2004 dan Perhimpunan Agung pada bulan September 2004.

Beliau berkata, kesemua pemegang jawatan tersebut yang dikira daripada Umno cawangan akan tamat pada Jun 2007 dan Umno bahagian pada Julai 2007 serta anggota Majlis Tertinggi (MT) pada September 2007.

Perhimpunan Agung Umno yang sepatutnya diadakan pada 2007 telah ditangguhkan 18 bulan bererti akan tamat pada Mac 2009, di peringkat Umno cawangan yang telah tamat pada Jun 2007 dan ditangguhkan 18 bulan akan berakhir pada Disember 2008 manakala di peringkat Umno bahagian akan berakhir pada Januari 2009, katanya.

Tengku Adnan berkata disebabkan itu, MT tidak boleh memberikan sambungan kepada persidangan Umno bahagian kerana tidak ada keperluan penangguhan lagi memandangkan masa yang diberikan hampir sama tarikh luput pemegang jawatan pada bulan Januari 2008.

"Diharapkan dengan penjelasan ini, tidak terdapat lagi keraguan dan perdebatan sama ada keputusan itu bercanggah dengan Perlembagaan Umno atau di bawah akta Pendaftaran Pertubuhan," katanya.

Tengku Adnan turut menjelaskan bahawa bagi Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno yang telah melepasi umur, terhenti menjadi anggota daripada segi perlembagaan tetapi mereka yang memegang jawatan boleh meneruskan tugas pada tarikh persidangan.

Beliau berkata bagi pemilihan tahun 2009, anggota yang sudah mencapai had usia, boleh dibenarkan bertanding sebarang jawatan sekiranya sudah dipilih di peringkat cawangan dan bahagian pada tahun 2008.

Tengku Adnan turut memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Umno tidak lagi akan menerima sebarang aduan dan bantahan berhubung persidangan Umno cawangan kerana tempoh yang diberikan pada 21 September 2008 sudah tamat.

Beliau berkata, sehingga tamatnya persidangan cawangan, 97 bahagian telah disahkan memberi jawatan Ketua Umno bahagian tanpa bertanding daripada 191 bahagian Umno yang terdapat di Malaysia.

Artikel Lain