suria

Komen penganalisis politik tentang pemansuhan ISA

PETALING JAYA: Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)akhir-akhir ini mendapat tentangan pelbagai pihak.

Antara pihak yang meminta kerajaan memansuhkan akta tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Ketua Wanita MCA, Dr Ng Yen Yen , Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon, dan Majlis Peguam agar ISA dikaji semula dengan teliti atau dihapuskan sama sekali.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata masih perlu bagi menjamin keamanan dan keselamatan dan kerajaan tidak bercadang menghapuskannya.

Rata-rata penganalisis politik yang dihubungi punya pendapat yang berbeza dengan cadangan mahu akta tersebut dihapuskan.

Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, ISA perlu dihapuskan segera kerana ia memberi kesan kepada keadaan politik semasa.

“ISA perlu dihapuskan segera kerana ia memberi kesan kepada kestabilan politik semasa,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Jelasnya, pelbagai pihak menentang penggunaan akta tersebut disebabkan dilihat tidak adil bagi mereka yang ditahan di bawah akta berkenaan kerana mereka ditangkap tanpa dibicarakan.

“Pelbagai pihak menggesa pemansuhan akta ini kerana mereka yang ditangkap tidak dibicarakan dan mereka dibiarkan berada di dalam tahanan tanpa diberitahu apa kesalahan mereka,” katanya.

Tambah Azeem, terdapat akta lain yang boleh digunakan bagi menggantikan ISA.

Antaranya adalah penggunaan Akta Hasutan, Akta Jenayah dan Akta Pertubuhan yang dilihat lebih adil untuk digunakan ke atas mereka yang dilihat mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, ISA wajar digunakan kepada perkara-perkara yang betul-betul mengancam keselamatan negara seperti gerakan subversif dan keganasan yang membawa impak negatif kepada negara.

Namun bagi pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, beliau punya pendapat berbeza dalam hal berkenaan.

Shamsul berkata ISA tidak wajar dihapuskan kerana akta tersebut merupakan senjata terakhir yang telah banyak meyelematkan negara daripada ancaman musuh.

“ISA telah banyak memberi manfaat kepada negara ini, jadi kerajaan punya sebab untuk mempertahankannya. Cuma apa yang dikesalkan adalah ia telah dipolitikkan pada hari ini,” katanya.

Jelasnya, walaupun beliau lihat akta tersebut memberi kebaikan tetapi pada masa yang sama ia telah digunakan untuk kepentingan politik parti pemerintah.

“Ini perkara yang tidak wajar berlaku.ISA sepatutnya digunakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman,” katanya.

Namun beliau turut melahirkan kenyakinan sama ada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini mereka tidak akan memansuhkan ISA.

Tambanhya, biarpun banyak pihak mendesak ISA dimansuhkan tapi beliau pasti kerajaan tidak akan menghapuskannya dalam masa terdekat.

“Biarpun banyak pihak mendesak tapi kita tidak boleh mengubah apa-apa hanya ahli Parlimen dan pembuat undang-undang mampu memansuhkannya,” katanya.

Menurut beliau, jika mereka yang meminta memansuhkan ISA hanya bercakap di luar Parlimen ia ibrabat cakap tin kosong dan tidak akan memberi sebarang kesan.

“Mereka yang mahu ISA dihapuskan patut kemukakan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang untuk dibentangkan di Parlimen. Mereka yang akan menentukan sama ada akta tersebut akan dimansuhkan atau tidak,” katanya.

Pandangan Shamsul dilihat senada dengan pendapat pensyarah Sains Politik USM, Dr. Nor Azizan Idris.

Menurut Azizan, ISA diwujudkan bertujuan untuk memastikan negara terhindar daripada ancaman keselamatan dan bagi menggelakkan keganasan daripada berlaku.

“Dulu ISA digunakan untuk mengelak ancaman Komunis tapi akhir-akhir ini ia digunakan untuk kepentingan politik,” katanya.

Tegasnya,ISA tidak wajar disalahgunakan untuk kepentingan parti politik tertentu ia penting untuk memelihara negara daripada ancaman musuh.

Beliau secara peribadi menyokong ISA perlu diteruskan kerana menurutnya akta tersebut masih lagi relevan dalam konteks mencegah keganasan dan memelihara keselamatan negara.

“Pelaksanaan ISA perlu betul dan kerajaan tidak boleh menggunakan akta ini bagi menghukum mereka yang punya perbezaan politik. Ini jelas bertentangan dengan hak asasi kemanusiaan,” katanya.

Jelasnya, jika seseorang itu betul mengancam keselamatan negara dari aspek penulisan dan percakapan, kerajaan boleh menggunakan akta Hasutan dan Percetakan untuk menangkap mereka dan bukannya ISA.

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain