suria

Anwar 'main wayang' - Rais

KUALA KLAWANG Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau menyifatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'main wayang' yang ingin supaya dunia memusatkan perhatian kepadanya agar kes liwatnya dilupakan.

Beliau berkata, Anwar cukup mahir menimbulkan isu baru tetapi isu lama ditenggelamkan dengan kepetahan beliau menyampaikan sesuatu dan kebolehannya menyisihkan fakta.

"Saya ingin menyatakan kepada pembaca akhbar dan penonton televisyen di negara ini, cukuplah sudah cerita Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, mari kita tunggu saja kes (liwat) beliau di mahkamah," katanya kepada pemberita mengulas cadangan Anwar mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada satu sesi persidangan khas Dewan Rakyat.

Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu ditemui selepas beliau menyampaikan sumbangan zakat daripada Amanah Raya Bhd berjumlah RM50,000 kepada 250 orang fakir miskin di Dewan Budaya Jelebu di Simpang Pertang dekat sini, hari ini. Katanya, rancangan Anwar mewujudkan kerajaan pada 16 September sudah meleset dan tidak ada bukti fizikal atau kemampuan lain untuk menukar kerajaan sekarang di mana semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah memberi pengakuan kepada ketua wip yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa mereka tidak akan meninggalkan BN.

"Kecuali Datuk Yong Teck Lee dan rakanrakannya dari SAPP.

"Tetapi SAPP boleh dianggap 'retak membawa belah' kerana memang sudah lama mereka hendak keluar dari BN. Ini saya tak anggap satu kejayaan bagi Datuk Seri Anwar.

"Oleh itu, yang penting kita tunggu sekarang ialah untuk melihat kemampuannya untuk mengkotakan apa yang dia sebutsebut dan pada masa sama ditunggu perbicaraannya di mana beliau cuba selindungkan di belakang pendapat politik beliau," katanya.

Mengenai undi tidak percaya itu, Rais berkata, bagaimana hendak mengusulkan undi tidak percaya, sedangkan tidak ada anggota Parlimen BN 'menyeberang' ke Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas pelan peralihan kuasa perlu dipercepatkan, beliau berkata ia memang wajar kerana itu adalah pandangan majoriti, baik daripada anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno mahu pun daripada ketua-ketua bahagian.

"Jadi apa yang disuarakan tempoh hari oleh Timbalan Perdana Menteri supaya menghormati pendirian akar umbi atau pun bahagian-bahagian saya fikir itu adalah jalan terbaik supaya demokrasi dalam Umno berterusan dengan sihat dan ada erti bagi Umno meneruskan perjuangan mengikut lunas-lunas perlembagaannya.

"Lagi pun kita dapati, memutuskan tentang perwarisan kuasa, tidak ada dalam perlembagaan Umno dan MT tidak ada kuasa.

Tetapi kita maklum bahawa Perdana Menteri telah pun mengadakan perbincangan dengan timbalannya dan kami difahamkan di MT bahawa satu ketetapan yang baru telah dicapai, jadi sama-samalah kita tunggu semoga ia mengendurkan apa yang dihasratkan oleh akar umbi.

"Saya yakin dengan kebijaksanaan Datuk Seri Abdullah apa yang telah beliau beri komitmen kepada timbalannya akan menzahirkan situasi yang lunak yang menjayakan perjuangan kita ke tahap yang lebih tinggi.

"Jika kita tidak begitu maka bahagian akan bersuara. Oleh itu, kita harus hormati pandangan bahagian-bahagian ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain