suria

Awang Tengah: Sarawak tidak perlu Akta Hubungan Kaum

KUCHING: Akta Hubungan Kaum tidak diperlukan di Sarawak kerana negeri itu tidak menghadapi masalah daripada segi perpaduan, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Negeri Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan hari ini.

Beliau berkata tidak wujud masalah perhubungan kaum di negeri itu memandangkan masyarakat pelbagai kaum dan agama telah bersatu padu dan hidup dalam suasana harmoni melalui proses semula jadi sejak bertahun-tahun lamanya.

"Di Sarawak, kalau tak ada akta ini pun tak apa kerana perpaduan dan hubungan baik pelbagai kaum di negeri ini telah wujud secara semula jadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar di Kuala Lumpur semalam akta itu yang sedang dirangka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan untuk mengekang huruhara dan ancaman kepada ketenteraman awam.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam Sarawak berkata usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan hubungan antara kaum sepatutnya didasarkan kepada keikhlasan.

Sebelum itu, Awang Tengah menyampaikan derma tahunan daripada anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak berjumlah RM259,000 kepada 53 pertubuhan kebajikan, badanbadan amal, sukan, agama dan pendidikan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain